KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang dibentangkan minggu lalu mampu untuk mengubah sistem pengkelasan pendapatan isi rumah sedia ada di Malaysia daripada berbentuk ‘piramid’ kepada kelas pendapatan berbentuk ‘berlian’ seperti yang terdapat di kebanyakan negara maju berpendapatan tinggi sekarang.
Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Nazri Khan berkata, ketika ini kategori pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 adalah berbentuk piramid, yang mana golongan pendapatan terendah adalah yang paling ramai.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual berkata, dengan pelbagai langkah dan inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2025, sistem itu boleh berubah kepada bentuk ‘berlian’, yang mana kelas pertengahan atau M40 akan lebih membesar.