Pernahkah terdetik di hati kita untuk jalani kehidupan tanpa sebarang masalah dan hidup selesa dalam kemewahan? Bagi yang enggan berubah mungkin beranggapan ia sesuatu yang sukar, melainkan ‘lahir dalam dulang emas’. Mengapa kita perlu sempitkan pemikiran dengan meletakkan diri sebagai kurang bernasib baik, andaimempunyai potensi untuk merubah hidup sendiri?
Sikap enggan berubah dan berasa selesa dengan perjalanan hidup walaupun sering kali berdepan masalah kewangan, pastinya menyulitkan. Ini kerana, kita terlalu bergantung harap kepada sumber pendapatan yang tidak seberapa kalau mahu dibandingkan dengan orang yang bijak mencari penyelesaian hidup.
Takut mencuba, dan menyerah sebelum berjuang adalah sifat orang yang gagal meskipun menyedari masih ada ruang serta peluang untuk melangkah lebih jauh. Tetapi, sampai bila kita mahu meletakkan diri di kedudukan sekarang, menantikan hasil KWSP dan wang pencen?
Ketahuilah bahawa, tanpa tabungan sampingan belum cukup untuk menjamin keselesaan hari tua meskipun memiliki simpanan di bank. Bahkan, KWSP menganggarkan simpanan yang perlu dimiliki oleh seseorang individu selepas bersara sekurang-kurangnya RM300,000, tanpa sebarang hutang.
Bayangkan jika masih mempunyai hutang yang perlu dilunaskan seperti kediaman, kenderaan, pinjaman peribadi serta hutang-piutang lain yang berkaitan, berapakah simpanan yang perlu ada bagi orang yang berpencen? Tidak hairanlah jika mempunyai simpanan RM500,000 sekalipun belum tentu selesa. Apatah lagi jika mempunyai anak-anak yang masih belajar.
ELAK DISELUBUNGI KEGAGALAN LALU
Diakui, masih ramai yang bijak merancang dalam menguruskan kewangan untuk keterjaminan hidup di masa depan. Malah, ramai yang memilih bidang pelaburan sebagai sumber kewangan tambahan selepas persaraan. Tidak dinafikan, ada yang menemui kegagalan dalam merencanakan pelaburan sehingga timbul rasa gusar dan takut untuk meneruskan pelaburan.
Lumrah dunia pelaburan ada pasang surut dan turun naik dalam pasaran. Tetapi, bagi yang kental dan cekal berdepan situasi pasaran semasa, nescaya akan menikmati pelaburan yang berbaloi. Namun, andai terjerat dalam ketidaktentuan pasaran, bukanlah satu kegagalan, sebaliknya ambil inisiatif untuk berkomunikasi dan berbincang dengan Pengurus Dana atau ejen bagi mengatasi ketidakstabilan pasaran.
Masih ada jalan atau solusi bagi mengelak daripada terus dirundung duka dengan situasi yang dihadapi. Sekiranya mengambil pendekatan untuk menamatkan pelaburan, mungkin akan menyesal andai pelaburan yang dibuat berupaya membantu di kemudian hari.
Banyak platform terbuka yang menceritakan pengalaman dan pengajaran daripada pelabur yang berjaya. Malah, turut terdapat sesi terapi kewangan bagi pelabur yang berdepan kegagalan. Jangan sempitkan pemikiran dengan kegagalan, sebaliknya jadikan kesilapan itu sebagai pembelajaran kerana dalam bidang perniagaan juga ada untung ruginya, begitu juga dengan pelaburan.
MULAKAN PERANCANGAN HARI TUA
Mungkin ramai beranggapan, caruman KWSP sudah memadai untuk menjamin keperluan selepas persaraan. Sebaliknya, berapa ramai yang sudah bersara masih bekerja yang mungkin disebabkan kekangan kewangan dan tekanan kos sara hidup sekarang? Andai masih berbaki caruman KWSP yang dianggap mampu menjaminkan kehidupan yang selesa selepas bersara, kenapa masih perlu bekerja?
Ditambah pula beberapa siri pengeluaran yang dibenarkan kerajaan sejak tercetusnya pandemik COVID-19 lalu. Adakah baki simpanan anda boleh menentukan keselesaan hidup untuk hari tua? Sehingga kini, mungkin masih ramai menuntut lagi pengeluaran melalui Akaun Fleksible.
Jangan terlalu selesa dengan apa yang kita ada sekarang, kerana langit tidak selalunya cerah. Apabila diuji dengan situasi di luar kawalan, seperti kehilangan sumber pendapatan atau mungkin hilang upaya untuk meneruskan pekerjaan, akan tetapi jika sudah mempersiapkan diri dengan bekalan tambahan yang akan menampung kelompongan hidup, pastinya dugaan tersebut tidaklah sesulit seperti yang dibayangkan.
Sentiasalah berwaspada dan mempersiapkan bekalan untuk masa depan. Sebaiknya persiapan dibuat sebelum usia tua atau apabila tidak lagi berupaya menguruskan kehidupan. Bukan sekadar bergantung kepada insuran yang dimiliki, sebaiknya di sokong oleh pelaburan anda, demi masa depan.
Melaburlah melalui instrumen-instrumen yang keluarkan oleh syarikat kewangan yang berdaftar dan fahamilah risiko-risiko yang berkaitan dengan instrumen tersebut sebelum membuat pelaburan. Janganlah ghairah ingin meraih pulangan berganda, tetapi, tidak kena pada tempatnya. Sebaliknya, selidiki, fahami dan dalami setiap konsep atau ciri-ciri bagi setiap instrumen yang ditawarkan, bukannya janji manis yang belum pasti untung ruginya.