Artikel

Pengukuhan kewangan demi kelangsungan

Kestabilan kewangan bukan bergantung kepada berapa banyak yang kita miliki atau perolehi, tetapi merujuk kepada keupayaan sumber demi pegukuhan dan kelangsungan masa depan, agar tidak terjerat dengan permasalahan kewangan seperti hutang pinjaman yang semakin menyesakkan kita. 

Kehidupan yang stabil dari segi kewangan bukan sekadar menenangkan minda, sebaliknya berupaya untuk menjadikan seseorang itu dapat menjalani kehidupan dengan aman dan harmoni tanpa sebarang kekangan kewangan, serta menghindarkan kita daripada dibelenggu kekusutan. 

Setiap daripada kita pasti berdepan dengan bebanan hutang, sama ada jumlahnya sedikit atau banyak, namun jika melibatkan kadar faedah yang perlu ditanggung sepanjang tempoh pinjaman, pasti ramai yang berasa tertekan dan terpedaya. Hakikatnya, itulah yang dilakukan oleh pihak pemberi pinjaman seperti bank dan pinjaman wang berlesen dalam mengaut keuntungan. 

Namun, jika sekadar bergantung kepada gaji bulanan semata-mata, mana mungkin kita berupaya atau berkemampuan untuk memiliki rumah idaman, bahkan kereta impian tanpa bantuan daripada hutang pinjaman. Tidak ramai berupaya untuk berbuat sedemikian, walaupun berkemampuan dari segi kewangan. 

Tetapi, itulah yang perlu dilalui setiap daripada kita jika ingin miliki sesuatu yang dianggap sebagai aset kehidupan. Sebaliknya, tidak ramai yang mahu mengambil langkah atau pendekatan yang berkeupayaan untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan hutang pinjaman. 

Elak hutang aset 

Tidakkah anda mahu miliki aset tanpa perlu dibebani hutang? Mungkin ramai yang beranggapan ia sesuatu yang mustahil ketika ekonomi dilihat tidak stabil. Hakikatnya, jika kita mempunyai perancangan kewangan yang kukuh dan jelas, nescaya setiap daripada kita mampu miliki apa yang diimpikan. 

Namun, apakah kita sanggup membelanjakan sebahagian daripada pendapatan kita untuk kelestarian kewangan di masa depan? Dengan menetapkan agihan 20, 30 dan 50 peratus daripada pendapatan bulanan, tidak mustahil untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan bebanan hutang pinjaman. 

Formula 20, 30, dan 50 peratus tersebut merangkumi, 50 peratus perbelanjaan bulanan yang menjadi keperluan harian termasuk bil-bil, manakala 30 peratus daripada pendapatan bulanan dikhususkan untuk penyelesaian hutang yang dimiliki, dan selebihnya diperuntukkan untuk keperluan masa depan.

Apakah 20 peratus tersebut? Ia boleh diklasifikasikan sebagai simpanan tetap atau pelaburan jangka panjang dalam pemilikan saham atau emas yang boleh memberikan kesan kepada pelaburan untuk tempoh masa tertentu. Tidak mustahil, jika pelaburan yang dibuat secara konsisten serta berketerampilan dalam tempoh yang lama, seseorang individu itu boleh menjalani kehidupan dengan lebih selesa. 

Setiap simpanan kewangan atau pelaburan pasti mempunyai risiko yang perlu dihadapi, namun bergantung kepada individu dalam mendepani cabaran yang perlu ditempuh untuk kewangan yang sihat dan stabil. 

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US