Artikel

Malaysia harus ada model ekonomi tersendiri

Malaysia harus ada model ekonomi tersendiri

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Malaysia perlu mengorak langkah dengan mewujudkan model ekonomi yang berdaya saing dan tidak terlalu bergantung kepada ekonomi kuasa besar. 

Pengurus Dana Bertauliah, Dato’ Dr Nazri Khan, berkata Malaysia perlu mengikuti langkah Korea Selatan dalam mewujudkan modelnya sendiri melalui industri hiburan dengan kuasa lembut politik (soft power political) dari segi gaya hidup, yang meletakkan negara itu dikenali dalam bidang hiburan di dunia. 

Katanya, K-Pop antara model ekonomi yang berkesan sehingga mempengaruhi industri hiburan dunia, yang menyerlahkan lagi budaya dan bahasa negara itu di peringkat global. 

“Mungkin Malaysia juga perlu ada soft power political melalui budaya yang negara boleh eksport iaitu budaya tertib dan kesopanan rakyat Malaysia, mungkin melalui model gaya hidup (lifestyle).

“Ini juga akan membantu melonjakkan Malaysia di mata dunia dan diterima dari segi sosial budaya dan bahasa. Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia sepatutnya menjadi kelebihan kepada negara kerana keunikannya berbanding negara lain,” katanya.

Menyentuh mengenai eksport produk elektrik dan elektronik Malaysia yang kian berkembang, Dr Nazri Khan berkata, sepatutnya di manfaatkan negara bagi membawa model baharu ekonomi untuk diterokai. 

Katanya, eksport produk elektrik dan elektronik (E & E) ini boleh juga merupakan niche Malaysia memandangkan negara sudah lama membabitkan diri dalam industri tersebut yang menjadi pemacu kepada sektor pembuatan di negara ini. 

“Jadi, Malaysia tidak boleh selesa dengan apa yang sudah ada, sebaliknya, teroka peluang baharu dalam bidang lain seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk lebih meletakkan negara di kenali dalam industri pembuatan dan teknologi. 

“AI boleh jadi pemangkin ekonomi untuk menyokong industri pembuatan cip supaya E & E ini scale up kepada sektor yang lebih tinggi dan menjadi nilai tambah dengan adanya pusat data di Malaysia,” katanya.

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *