Menginginkan kewangan yang sihat dan mampan untuk kelangsungan hidup tanpa dibayanggi tekanan menjadi impian setiap orang. Apatah lagi menjalani kehidupan bebas hutang dengan sumber kewangan yang berupaya untuk dikembangkan kepada generasi akan datang.
Persediaan melalui simpanan untuk bekalan hari tua dan peninggalan buat anak-anak semestinya menjadi harapan ibu bapa. Tidak ada orang tua yang mahu membebankan anak-anak apabila menjenggah ke usia warga emas kelak. Walaupun begitu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau wang pencen belum tentu cukup untuk menampung kehidupan selepas bersara.
Manfaatkan usia yang masih kuat dan berstamina untuk mengumpul pendapatan sebelum meniti usia persaraan. Bagi mereka yang tidak lagi terbeban dengan keperluan anak-anak, inilah masanya untuk mengumpul wang tambahan untuk bekalan hidup di hari tua kelak.
Mencari peluang dalam meningkatkan keupayaan kewangan menerusi pelaburan atau simpanan adalah antara langkah yang boleh diambil sebelum memasuki usia persaraan agar berpotensi menyediakan kehidupan yang lebih selesa selepas bersara seperti mampu melancong atau bersiar-siar bersama pasangan dengan hasil pelaburan yang dibuat.
Penuhi keinginan diri selepas bersara
Gunakan peluang yang ada untuk mempertingkatkan kewangan yang lebih bermakna kerana mungkin dengan instrumen pelaburan, kita dapat merealisasikan keinginan yang tidak dapat kita nikmati sebelum ini. Andai meletakkan sebahagian pendapatan atau simpanan sebagai pemangkin dalam pelaburan, tidak mustahil ia mungkin boleh memberikan kewangan lebih stabil.
Namun, keyakinan dan kesabaran amat diperlukan demi kesejahteraan kewangan kelak, serta tidak melakukan tindakan terburu-buru andai diuji dengan risiko pelaburan. Tidak semua pelaburan menguntungkan atau merugikan, dan tidak mustahil untuk melihat sesuatu pelaburan itu menjadi nilai tambah dalam kewangan.
Sejahterakan hidup dengan kewangan yang sihat dan stabil untuk keperluan selepas bersara kelak, kerana tidak semua keperluan kita akan dipenuhi oleh anak-anak, seperti kesihatan diri dan keinginan untuk melancong. Gunakan hasil yang dijana daripada pelaburan dan simpanan untuk menikmati hidup bersama pasangan dan teman-teman ketika usia masih lagi utuh dan kaki berupaya untuk melangkah.