Instrumen pelaburan tidak hanya terbatas kepada bon, saham jangka panjang dan stok, sebaliknya ia turut melibatkan pelaburan menerusi dagangan harian atau day trading yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelabur, terutama yang memilih untuk melihat hasil dagangan secara jangka pendek atau pada hari yang sama.
Namun, cabaran dan risikonya tetap perlu dihadapi para pelabur yang lebih dikenali sebagai pedagang, bergantung kepada keupayaan dan kecekapan dalam mengendalikan dagangan berdasarkan teknik, pemahaman dan waktu yang sesuai untuk memasuki pasaran serta menjual pelaburan.
Kedengaran agak mudah, hakikatnya tanpa ilmu dan pemahaman yang jelas mungkin sukar untuk memahami istilah seperti chart patterns, candlestick, bullish, bearish serta scalping dan swing yang akan menentukan keupayaan sesuatu pelaburan yang ingin dibuat.
Malah, tanpa peralatan teknologi yang bersesuaian ia mungkin menyulitkan seseorang pedagang untuk memantau kesesuian memasuki dan keluar daripada pasaran. Ini kerana, alatan seperti komputer riba, telefon pintar dan capaian internet tanpa had akan membantu seseorang pedagang untuk fokus kepada pasaran.
Bayangkan jika tidak mempunyai kit dagangan iaitu alatan yang mencukupi atau bekalan tenaga yang konsisten, mungkin akan menyulitkan seseorang pedagang untuk membuat pematauan pasaran. Mungkin akan ada yang terlepas waktu yang sesuai untuk memasuki mahupun keluar daripada pasaran.
Kekangan sedemikian perlu dielakkan bagi memenuhi matlamat sebagai pedagang harian untuk meraih hasil pelaburan daripada turun dan naik pasaran dalam jangka masa singkat. Mempersiapkan mental dan fizikal sebelum memasuki pasaran akan membantu pedagang daripada terbawa-bawa emosi yang boleh memberi kesan kepada pelaburan yang dibuat.
Pelaburan yang fleksibel
Rata-rata pedagang day trading memilih instrumen saham tersebut disebabkan oleh masa yang fleksible dan berupaya untuk dikendalikan di mana-mana pada bila-bila masa sahaja. Malah, nilai pelaburan yang rendah dengan tempoh masa yang singkat menjadi faktor pilihan ramai terutama golongan muda untuk menceburi bidang tersebut sebagai pedagang.
Namun, setiap pelaburan mempunyai risiko yang perlu dititikberatkan sebelum membuat keputusan menjadi seorang pedagang tegar. Walaupun nilai pelaburannya rendah berbanding pelaburan konvensional, namun kegagalan memahami teknik, konsep dan ilmu dagangan boleh mengakibatkan seseorang pedagang itu menghadapi kerugian yang besar.
Tetapi, berupayakah day trading menjanjikan kestabilan kewangan kepada pedagang? Hakikatnya, ilmu dan teknik yang jelas perlu dipelajari daripada pakar atau tenaga pengajar bertauliah sebelum menjadi seorang pedagang agar tidak menyesal di kemudian hari.
Ini kerana, day trading memerlukan ketepatan, ketelitian, disiplin dan persediaan rapi dengan mengikuti rutin yang teratur disamping memahami keadaan pasaran, berupaya membantu pedagang bagi mengurangkan risiko kesilapan serta meningkatkan peluang untuk aktif dalam bidang perdagangan harian.