Sebut sahaja mengenai kewangan, pasti ramai yang akan memikirkan mengenai kestabilan, bebas kekangan kewangan dan kesejahteraan hidup. Namun, tidak ramai yang menetapkan matlamat untuk memiliki kewangan yang sihat dan sejahtera daripada sebarang kekangan dan permasalahan.
Umum mengetahui, kehidupan dengan situasi ekonomi yang menekan memaksa ramai orang mencari solusi untuk mengatasi beban kewangan untuk jangka pendek dan jangka panjang, demi kelestarian hidup. Hakikatnya, tanpa persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang, mana mungkin kewangan yang dimiliki berupaya untuk menyelamatkan diri daripada sebarang tekanan.
Menetapkan matlamat dalam pengurusan kewangan berupaya untuk menggerakkan kestabilan ekonomi rumah tangga dan individu, tetapi, apa tindakan yang akan anda lakukan untuk mengharmonikan ekonomi dengan kewangan yang lebih stabil dan kukuh? Hutang pinjaman adalah lumrah bagi setiap orang, namun tidak ramai yang bijak menguruskan hutang sehingga terbeban dengan masalah kewangan yang tidak sihat.
Menurut pakar kewangan, Robert Kiyosaki dalam bukunya berjudul, Cashflow Quadrant terdapat empat jenis aliran tunai iaitu, pekerja yang bekerja untuk wang, mereka yang bekerja sendiri dengan memiliki perniagaan kecil, pemilik perniagaan yang menjana kewangan dan pelabur di mana wang bekerja untuk mereka. Dimanakah kedudukan anda bagi menentukan pengukuhan aliran tunai kewangan anda?
Jelas Kiyosaki, bagi mengatasi beban kewangan dengan permasalahan yang boleh merundung diri adalah, dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan menukar perbelanjaan tersebut kepada pelaburan aset yang dapat menjana pendapatan bagi meningkatkan kecerdasan kewangan di masa depan.
Mengungkap kata-katanya, ‘bukan berapa banyak wang yang anda buat, tetapi, berapa banyak wang yang anda simpan dan labur’ jelas menerangkan keterampilan aset pelaburan boleh menstabilkan kewangan serta mungkin dapat mengatasi masalah bebanan kewangan ketika memerlukan.
JANGAN BERGANTUNG SEPENUHNYA PADA GAJI
Rata-rata daripada kita bergantung kepada sumber pendapatan bergaji tanpa memikirkan alternatif lain yang berupaya untuk menjadi sumber kedua kepada perolehan pendapatan. Kiyosaki menegaskan, risiko kewangan terhadap pendapatan bergaji mampu menghalang kestabilan kewangan apabila terkait dengan masalah kehilangan pekerjaan serta kenaikan kadar inflasi yang akan menyebabkan simpanan menjadi mengecil.
Tanpa ada perancangan tambahan, mana mungkin seseorang itu boleh berada dalam kehidupan yang selesa dengan hanya bergantung kepada gaji bulanan. Jelas Kiyosaki, setiap orang harus memiliki matlamat dengan menetapkan sekurang-kurangnya tiga sumber pendapatan dengan pendapatan pasif melebihi gaji bulanan untuk berkeupayaan memiliki kewangan yang kukuh dan stabil.
Pelaburan sama ada menerusi saham atau hartanah kira-kira 10 hingga 20 peratus daripada pendapatan, akan dapat membina dana kecemasan untuk tempoh tiga hingga enam bulan. Namun, bagaimana untuk kita memperoleh sumber pendapatan tambahan?
Setiap orang memiliki kemahiran dalam bidang masing-masing. Menurut Kiyosaki, gunakan kemahiran atau kelebihan itu untuk menjana pendapatan kedua, disamping menjadikan aset pelaburan sebagai pemangkin kepada keutuhan kewangan untuk jangka panjang.