Artikel

Tipu daya scam pelaburan

Apa yang anda lakukan apabila mengetahui anda diperdaya atau ditipu? Ramai yang masih tidak peka dan mengambil maklum mengenai jenayah scam. Ini kerana, mengikut data Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan, kes pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah kerugian paling tinggi sebanyak RM421 juta pada tahun 2023. (https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/03/27/kenapa-masih-ramai-menjadi-mangsa-penipuan-pelaburan/

Modus operandi scammer bukan sekadar menawarkan pelaburan pantas dan singkat dengan keuntungan berganda, sebaliknya, turut menggunakan nama firma pengurusan kewangan serta individu yang dikenali ramai sebagai umpan untuk menambat hati pelabur. 

Caranya mudah, hanya iklankan di media sosial dengan memaparkan bukit kononnya ahli yang menyertai skim yang ditawarkan telah mendapat keuntungan setiap hari. Kedengaran agak menarik bukan? Tetapi, bagi yang terdesak dan inginkan keuntungan segera berlipat ganda, sudah pasti terpedaya kerana dikaburi janji dan jaminan yang tidak jelas.

Malah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada tahun 2023 dan ia meningkat dengan ketara sebanyak 321 peratus sepanjang lima tahun lalu sejak 2019 hingga 2023.

Ini menunjukkan rakyat Malaysia masih belum peka dan ambil peduli tentang jenayah yang semakin berleluasa dengan pelbagai teknik serta umpan bagi menambat hati orang ramai. Terbaharu, pada Januari lalu seorang mangsa kerugian lebih RM6 juta selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di media sosial. (https://www.sinarharian.com.my/article/708178/suara-sinar/lidah-pengarang/jangan-terjebak-tawaran-pelaburan-di-media-sosial

Cegah melalui didikan

Pendedahan dan didikan bagi memberi pemahaman kepada orang ramai perlu dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan supaya jenayah sedemikian dapat dibendung. Namun, masyarakat perlu sentiasa berwaspada dan mengambil tahu tentang perkembangan semasa supaya lebih berhati-hati, apatah lagi untuk menjawab panggilan yang tidak dikenali.

Usah bersikap semberono tanpa meniliti dan selidiki kesahihan sesuatu tawaran yang diberikan. Apatah lagi dengan mudah memberikan data peribadi seperti nombor kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali dek kerana inginkan keuntungan yang singkat dan pantas. 

Tiada jalan pintas dan mudah untuk meraih keuntungan. Sebaliknya, setiap pelaburan mempunyai risiko tersendiri yang perlu dihadapi pelabur sebelum mengecapi hasil daripada pelaburan. Pemahaman yang jelas dan penelitian yang mendalam mengenai sesuatu pelaburan perlu diambil kira sebelum melakukan sebarang tindakan. 

Jika masyarakat memahami peranan dalam mencegah jenayah penipuan (scam) pelaburan, pastinya penjenayah atau scammer dapat ditumpaskan. Pemikiran dangkal mengenai keuntungan jangka masa singkat dengan pelaburan yang sedikit perlu ditepis dan dihindar dalam setiap minda masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah scammer.

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US