Pandemik COVID-19 mengajar kita untuk lebih bersedia bagi menghadapi sebarang musibah atau kemungkinan yang akan menjejaskan sumber pendapatan. Tanpa persediaan dan perancangan kewangan yang rapi, ia boleh menyebabkan seseorang itu berasa tertekan dan hilang arah sehingga terjadinya kes bunuh diri serta mengalami kesihatan mental disebabkan oleh bebanan kewangan yang ditanggung.
Ini diperjelaskan berdasarkan kajian Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2021 yang mendapati seramai lebih 140,000 orang hilang pekerjaan ketika tercetusnya pandemik sehingga Ogos 2021 (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/870290/140608-hilang-kerja-akibat-covid-19). Meskipun era pandemik sudah beralalu, namun kesannya masih dirasai sehingga kini apabila terdapat individu yang masih belum berpeluang untuk kembali bekerja setelah diberhentikan pada ketika itu.
Namun, inisiatif kerajaan mewujudkan ekonomi gig menjadi pemangkin kepada golongan yang terkesan akibat peralihan ekonomi tersebut untuk kembali bernafas bagi mengembalikan sumber pendapatan yang terjejas. Meskipun pendapatan yang diperoleh tidak tetap, tetapi tidak mustahil rata-rata daripada golongan itu masih mengharapkan peluang pendapatan yang lebih stabil dan kukuh untuk kelangsungan hidup.
Sebaliknya, jika diteliti dan diselidiki, golongan ekonomi gig ini juga berupaya untuk menjana kewangan yang sihat dan kukuh andai bijak mengatur pendapatan. Tidak terlalu berasa selesa dan bergantung harap sepenuhnya kepada sumber pendapatan yang diperoleh, nescaya mereka juga berupaya untuk menjalani hidup yang lebih selesa tanpa dibelenggu bebanan kewangan.
Wujudkan tabungan melalui pelaburan
Apa yang anda lakukan untuk memperkukuhkan kewangan yang ada? Jadikan tabungan sebagai solusi kedua untuk mengatasi situasi kewangan yang mendatang. Ini kerana, menabung dilihat berupaya menjadi simpanan kecemasan andai situasi seumpama pandemik kembali berulang. Sama ada simpanan secara konvensional di bank, mahupun tabungan melalui pelaburan saham, pastikan sasaran yang ingin dicapai dapat diperolehi.
Namun, cara dan tindakan perlulah berkeupayaan bagi merealisasikan sasaran. Selidiki dan fahami konsep tabungan melalui pelaburan dengan meneliti kaedah untung dan rugi sesuatu pelaburan. Andai memilih pelaburan emas, pastikan mekanisma pelaburan itu berupaya untuk membolehkan kita konsisten untuk melabur.
Sebaliknya, kaedah yang menjadi pilihan ramai ketika ini adalah melalui pelaburan saham yang banyak ditawarkan firma pengurusan kewangan yang bertauliah, juga seperti Amanah Saham Nasional Bhd, sebuah syarikat pengurusan yang menawarkan pelaburan dalam dana amanah atau unit trust. Tetapi, hendaklah di ingat bahawa pulangan yang akan diraih tidak menjanjikan nilai yang tinggi dan untuk rekod, Amanah Saham Bumiputera mencatatkan agihan pendapatan dan keuntungan yang tertinggi sejak 2019 bagi tahun berakhir Disember 2024 sebanyak 5.75 sen seunit. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1340711/dividen-asb-575-sen-seunit-tertinggi-dalam-lima-tahun)
Apapun jalan yang dipilih, pastikan pelaburan yang dibuat berdaya saing dan mampan untuk keperluan masa depan. Hakikatnya, setiap jenis pelaburan sama ada saham, emas mahupun hartanah, pasti ada risiko yang perlu dihadapi. Namun, berbeza dengan pelaburan saham, ada Pengurus Dana yang berperanan memantau setiap pelaburan yang dibuat agar berketerampilan dan berkualiti.