Semalam, Shell plc melalui kenyataan media telah mengumumkan hasrat untuk menarik diri daripada terlibat dalam segala urusniaga berkaitan bahan hidrokardbon Rusia. Ini termasuklah minyak mentah, produk petroleum, gas dan gas asli cecair (LNG) secara berperingkat, sejajar dengan panduan baharu kerajaan.
Sebagai langkah pertama, syarikat tersebut akan menghentikan kesemua aktiviti pembelian minyak mentah Rusia secara langsung dengan segera. Mereka juga bercadang untuk menutup operasi stesen servis, bahan api penerbangan dan pelincirnya di Rusia.
“Kami amat sedar bahawa keputusan kami minggu lalu untuk membeli kargo minyak mentah Rusia untuk ditapis menjadi produk seperti petrol dan diesel bukanlah keputusan yang tepat dan dengan ini kami memohon maaf.

Seperti yang telah kami katakan, kami akan menyumbang keuntungan daripada jumlah terhad baki minyak Rusia yang akan kami proses kepada suatu dana khusus. Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi bantuan dan agensi kemanusiaan dalam beberapa hari dan minggu akan datang untuk menentukan ke mana dana ini sesuai untuk disalurkan bagi tujuan mengurangkan akibat buruk perang ini terhadap rakyat Ukraine,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Shell, Ben van Beurden.
“Tindakan kami setakat ini telah dipandu oleh perbincangan berterusan dengan kerajaan tentang keperluan untuk memisahkan masyarakat daripada aliran tenaga Rusia, sambil mengekalkan bekalan tenaga. Ancaman hari ini untuk menghentikan aliran paip ke Eropah menggambarkan pilihan yang sukar dan kemungkinan akibat yang bakal kita hadapi semasa kita cuba melakukannya. Berikutan kenyataan kerajaan minggu ini, saya ingin menyatakan pendirian kami dengan jelas.”

Ini antara tindakan yang akan dilakukan oleh Shell:
- Segera hentikan pembelian minyak mentah Rusia di pasaran spot dan tidak akan memperbaharui kontrak berjangka.
- Pada masa yang sama, dalam perundingan rapat dengan kerajaan, Shell akan menukar pembekal minyak mentah untuk mengurangkan bekalan dari Rusia. Mereka berkata akan melakukan ini secepat mungkin, namun lokasi fizikal dan persediaan alternatif boleh mengambil masa berminggu-minggu untuk direalisasikan dan akan menyebabkan pengurangan pengeluaran di beberapa kilang penapisan Shell.
- Shell akan menutup operasi stesen servis, bahan api penerbangan dan pelincir di Rusia. Mereka akan mempertimbangkan dengan teliti cara paling selamat untuk melakukan hal ini, tetapi proses akan bermula serta-merta.
- Shell akan memulakan pengeluaran berperingkat daripada produk petroleum Rusia, gas saluran paip dan LNG. Ini adalah cabaran yang kompleks. Menukar sistem tenaga ini memerlukan tindakan bersepadu oleh kerajaan, pembekal tenaga dan pelanggan, dan peralihan kepada bekalan tenaga lain akan mengambil masa yang lebih lama.
“Cabaran masyarakat ini menyerlahkan dilema antara memberi tekanan kepada kerajaan Rusia atas kekejamannya di Ukraine dan pada masa yang sama memastikan bekalan tenaga yang stabil dan selamat di seluruh Eropah,” kata van Beurden.
“Tetapi akhirnya, ianya terserah kepada kerajaan untuk memutuskan pertukaran yang amat sukar yang mesti dibuat semasa perang di Ukraine. Kami akan terus bekerjasama dengan mereka untuk membantu mengurus potensi kesan terhadap keselamatan bekalan tenaga, terutamanya di Eropah.”
Sumber: Shell.com
Belajar gandakan wang dengan pelaburan saham patuh syariah secara PERCUMA!
Layari www.MenangSaham.com
KENYATAAN PENAFIAN:
Perkongsian ini bertujuan pendidikan sahaja. Perkongsian ini tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti mengumpul duit serta tidak akan memberitahu anda saham mana yang patut dibeli atau tidak. Sebarang saham-saham yang dikongsikan adalah bertujuan pembelajaran sahaja. Perubahan harga yang lepas tidak menjanjikan keuntungan di masa akan datang. Sebarang tindakan atau keputusan atau jual, beli saham adalah keputusan sendiri.