Artikel

Pelaburan: Kestabilan kewangan jaminan masa depan

Pelaburan - Man Flying While Drinking in sky full of money

Benarkah kewangan yang stabil dan kukuh menjamin kehidupan yang selesa? Ramai dalam kalangan kita memperoleh pendapatan hanya melalui pekerjaan yang bergaji tetap atau ‘makan gaji’ setiap bulan. Tetapi, kebiasaannya tidak ramai individu sebegini yang berupaya menyumbangkan 15 ke 30 peratus daripada gaji mereka sebagai tabungan atau simpanan. 

Ini menyebabkan, ada yang mungkin berdepan risiko krisis kewangan di pertengahan bulan atau sebelum hari gaji. Disebabkan keperluan mendesak dan tiada simpanan kecemasan atau tambahan, rata-rata golongan bergaji tetap ini mudah terdedah kepada pujukan pinjaman segera atau jangka masa pendek, sehingga ada yang sanggup membuat hutang melalui pinjaman wang berlesen.

Kewangan yang sihat bukan sekadar mampu menggerakkan perbelajaan isi rumah tanpa sebarang kekangan, sebaliknya berupaya membuat simpanan atau tabungan di kala terdesak walaupun dengan nilai yang sedikit. Tidak semua orang mempunyai pendekatan sebegini, di antaranya adalah disebabkan komitmen yang tinggi hingga menyebabkan keupayaan kewangan yang negatif hampir setiap bulan. 

Jika tidak diatasi dengan pendekatan yang efektif bagi mengengkang beban kewangan, kemungkinan akan berdepan kesukaran dalam menguruskan kehidupan di masa depan. 

Bagaimana pula dengan golongan berpendapatan kecil dalam menguruskan kewangan? Perancangan dalam menentukan keampuhan kewangan penting untuk kestabilan hidup tanpa terbeban dengan masalah kewangan. Namun, mungkin tidak ramai yang peka tentang kepentingan menguruskan wang dengan baikitu disebabkan terbuai dengan gaji yang diperoleh sehingga mengabaikan kepentingan dalam pengurusan kewangan. 

AKAUNTIBILITI DALAM PENGURUSAN KEWANGAN

Bijak mengendalikan kewangan adalah satu sifat kebertanggungjawaban demi kelestarian hidup. Jika tidak dikendalikan dengan bijaksana, pasti akan menimbulkan pelbagai kebarangkalian yang mungkin akan menjerat diri sendiri. Malah, ia boleh menyebabkan orang sekeliling mereka terutamanya keluarga turut terheret ke kancah kekusutan kewangan. 

Waspada dalam menentukan hala tuju kewangan untuk kekal stabil bagi menjamin keperluan sehingga hari gaji yang berikutnya. Menyedari masih ramai yang tercari-cari kaedah sesuai untuk menstabilkan kewangan agar terus utuh di masa-masa akan datang, pelaburan boleh menjadi pendekatan yang baik bagi menghadapi  keperluan pada masa hadapan. 

Ramai yang mengimpikan sesuatu dalam hidup mereka, baik dari segi kesenangan mahupun kemewahan. Namun, jika tiada sumber atau simpanan yang kukuh mungkin agak sukar untuk mencapai  matlamat atau kemampanan kewangan diinginkan. 

Setiap orang mempunyai pendapatan yang berbeza, baik yang bekerja sendiri mahupun yang makan gaji. Tetapi, tidak mustahil untuk mereka yang bekerja makan gaji berupaya hidup mewah dan selesa andai pandai cara menguruskan kewangan. Apa yang penting, cara kita aturkan kewangan, sama ada untuk simpanan mahupun pelbauran bagi jangka masa pendek atau panjang bergantung kepada keinginan serta keupayaan kita. 

Ada yang mampu bersara awal dan menjalani kehidupan dengan hanya menikmati hasil pulangan daripada pelaburan yang dibuat. Siapa yang tidak mahu bercuti ke sana ke sini tanpa kekangan dan halangan kewangan, malah, mampu membawa seisi keluarga menikmati panorama indah dengan suasana yang tenang dan damai. Bahkan, tidak hairan jika ada pelabur yang mampu melangsaikan segala hutang piutang sebelum meniti usia emas dengan hanya hasil janaan daripada pelaburan yang diusahakan. 

BEBAS TEKANAN MINDA DAN EMOSI

Menyedari ramai yang menghadapi tekanan apabila berdepan masalah kewangan, ditambah pula dengan kos sara hidup dan isu gaji yang hangat diperdebatkan di peringkat kerajaan mahupun swasta, situasi sedemikian tidak dapat ditepis jika kita pandai menguruskan kewangan dengan efisien. 

Faktor kurang arif dalam pengurusan kewangan dan sifat boros yang tertanam dalam diri setiap manusia, membuatkan ramai yang memandang enteng soal berbelanja serta menguruskan keperluan isi rumah. Walaupun kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun dengan pelbagai insentif untuk rakyat, namun jika rakyat tidak mahu keluar daripada masalah sama yang dihadapi setiap bulan, mana mungkin permasalahan kewangan diri dapat diatasi dengan sendirinya. 

Rancang keperluan dan kehendak diri agar tidak dihimpit permasalahan sama yang membelunggu diri. Malah, disebabkan desakan kewangan menyebabkan ramai berdepan masalah kesihatan minda sehingga ada yang bertindak di luar kawalan dengan mencederakan diri sendiri dan orang sekeliling. Untuk rekod, masalah tekanan mental disebabkan kewangan antara yang menghimpit fikiran ramai rakyat negara ini, dan yang tertinggi melibatkan rakyat yang menetap di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur (https://www.hmetro.com.my/utama/2023/05/970579/hidup-di-kl-dibelenggu-stres). 

Oleh itu, perbaiki dan ubah corak kendali kewangan diri agar lebih stabil serta mampu menjalani hari-hari mendatang dengan tenang. Cari ruang dan peluang untuk menambah sumber kewangan atau mempelbagaikan pendapatan isi rumah. Ramai yang bertindak melakukan lebih daripada satu pekerjaan dalam satu masa, namun, sampai bila mampu bertahan? Harus diingat, jika kudrat tidak mampu lagi digunakan, wang ringgit tidak lagi bermakna. 

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *