KUALA LUMPUR, 13 Jan – Kecekapan negara dalam mengendalikan pasaran import dan eksport menghasilkan lebihan dagangan kira-kira RM103 bilion setakat November tahun lalu, menjadikan pertumbuhan perdagangan negara meningkat kepada 9.3 peratus (https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/11/1325890/malaysia-rekod-nilai-dagangan-10-bulan-pertama-tertinggi-dalam).
Pengurus Dana Bertauliah, Dato’ Dr Nazri Khan, berkata perkembangan positif itu meletakkan perdagangan negara berada di landasan yang tepat dan menunjukkan produktiviti negara memberi kepercayaan kepada ekonomi dunia.
Katanya, bukan semua negara mempunyai lebihan dagangan meskipun ada teknologi yang pesat , namun, perkembangan positif itu membolehkan Malaysia mengatasi inflasi.
“Semestinya ini menterjemahkan ia akan mengalir kembali kepada rakyat Malaysia. Insya-Allah, apabila produktiviti negara bagus, kos akan menurun dan kualiti hidup rakyat akan lebih baik.
“Sepatutnya dari segi teori, Ringgit akan menjadi lebih kuat apabila lebih banyak negara membuat permintaan terhadap produk Malaysia. Lebihan dagangan ini akan meningkatkan lagi keperluan eksport domestik,” katanya.
Beliau berkata, ini akan menjurus kepada ketahanan ekonomi negara dan memberi kelebihan perbandingan ekonomi (economic comparative advantage) kepada Malaysia.
“Cuma, Malaysia kena pandai meletakkan kedudukan dalam pemancu ekonomi tertentu. Contohnya, Malaysia ada menghasilkan kereta buatan sendiri, tetapi, tidak ada kelebihan daya saing (competitive advantage), sebab ada banyak negara yang boleh menghasilkan kereta pada harga yang lebih murah daripada Malaysia,” katanya.