Ramai dalam kalangan usahawan atau ahli perniagaan beranggapan bahawa tiada keperluan untuk bergaji tetap daripada perniagaan sendiri, kerana merasakan pendapatan syarikat adalah pendapatan sendiri yang boleh dijarah apabila perlu. Namun, sikap sedemikian boleh mengakibatkan ketidakstabilan kewangan dan menjejaskan kos pengoperasian perniagaan. Malah dengan menetapkan gaji tetap, usahawan dapat mengurus kewangan syarikat dengan lebih berstruktur, memastikan aliran tunai yang sihat serta membezakan antara pendapatan perniagaan dan perbelanjaan peribadi.
Terdapat juga segelintir usahawan yang enggan mengambil gaji tetap, menyebabkan syarikat mengalami masalah kerana kepincangan dalam pengurusan kewangan terutamanya aliran tunai. Malah, ada syarikat yang terpaksa menghentikan operasi atau mengaji pekerja kerana sikap pemilik syarikat yang agak boros berbelanja menggunakan dana syarikat.
Apa pendapat anda andai ditetapkan gaji kepada pemilik syarikat atau usahawan? Ini bukan sahaja membantu menstabilkan kewangan syarikat, sebaliknya mendidik usahawan atau ahli perniagaan untuk mengatur kewangan syarikat dan peribadi dengan bijak tanpa menyentuh pendapatan syarikat.
Tetapi, masih ramai yang enggan memperaktikkan langkah sedemikian kerana menganggap pendapatan tetap yang diperolehi akan menghadkan sumber kewangan peribadi. Bahkan, ada yang berfikiran kewangan syarikat adalah pendapatan peribadi mutlak pemilik syarikat yang boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka, jadi kenapa perlu menetapkan gaji tetap bulanan sebagai pendapatan?
Hakikatnya, jika seseorang usahawan atau pemilik syarikat berpandangan untuk menetapkan gaji bulanan peribadi, ia bukan sekadar melancarkan aliran kewangan syarikat, sebaliknya dapat mendidik usahawan atau pemilik syarikat untuk mengimbangi pendapatan peribadi tanpa melibatkan kewangan syarikat dengan bijak.
Bijak mengatur keperluan kewangan peribadi
Malah, dengan pendapatan tetap bergaji akan membantu usahawan menentukan antara keperluan dan kehendak berdasarkan pendapatan bulanan yang diperolehi. Bayangkan jika seseorang usahawan rakus membelanjakan keuntungan syarikat untuk kepentingan peribadi, tidakkah akan menjejaskan akaun syarikat akibat berlakunya ketirisan.
Jadi, apa rasionalnya menggunakan kewangan syarikat sebagai sumber pendapatan peribadi, tetapi akhirnya syarikat terpaksa menanggung beban kewangan yang tidak sihat. Natijahnya, pekerja yang terkesan dengan kemerosotan kewangan syarikat sehingga berlakunya pembuangan pekerja dan pengecilan operasi.
Sebaliknya, ada solusi yang dapat membantu usahawan dan pemilik syarikat untuk mengembangkan kewangan peribadi mereka serta syarikat. Banyak saluran pelaburan yang disediakan firma pengurusan dana kewangan bertauliah dengan pelbagai cara, sama ada menerusi saham, pemilikan bon, pelaburan emas, atau trading. Cuma, risiko yang perlu dihadapi pelabur adalah berbeza-beza mengikut volatiliti, keupayaan, kesanggupan serta masa. Namun, penelitian dan pemahaman yang jelas perlu diambil maklum sebelum melakukan sebarang tindakan.