Keadaan ekonomi yang semakin mencabar menguji setiap individu dalam membuat perbelanjaan, apatah lagi faktor upah atau gaji di Malaysia masih dianggap rendah dengan purata pendapatan rakyat kurang dari RM5,000 sebulan, membabitkan 73.3 peratus daripada 6.5 juta pekerja formal. (https://www.astroawani.com/berita-malaysia/733-peratus-pekerja-formal-terima-gaji-kurang-rm5000-47-peratus-bawah-garis-kemiskinan-448201)
Ini menunjukkan tahap kewangan kebanyakan rakyat masih belum mampu untuk berada dalam keadaan selesa, serta bergelut dengan kehidupan yang kian mencabar. Andai tidak diatasi dengan alternatif kewangan yang berupaya untuk menstabilkan kehidupan di masa depan, nescaya lebih ramai yang akan terjebak dengan hutang pinjaman untuk kelangsungan hidup.
Corak kehidupan dan gaya hidup kini antara penyumbang kepada fenomena berbelanja mengatasi pendapatan. Tanpa kita sedar, keupayaan kewangan dengan komitmen yang tinggi berupaya menjerat diri disebabkan oleh ketidakstabilan ekonomi peribadi yang mengakibatkan ramai diisytihar muflis gara-gara hutang pinjaman.
Namun, jika langkah awal diambil dengan pemahaman dan didikan mengenai literasi kewangan, mungkin ini dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam masalah kewangan yang membebankan. Tidak dinafikan, masih ramai yang tidak ambil endah mengenai alternatif kewangan kedua, bahkan ada yang enggan mengambil tahu manfaat simpanan melalui pelaburan.
Tetapi, jika didikan awal diberikan sejak kecil mengenai kestabilan kewangan melalui simpanan jangka panjang, mungkin ini berupaya melahirkan generasi celik kewangan demi keselesaan hidup di masa depan. Hakikatnya, tiada silibus yang mampu dijadikan panduan untuk generasi muda memahami dan mempelajari keperluan kewangan yang kukuh.
BEBAN KEWANGAN BERUPAYA PENGARUHI KESIHATAN MENTAL
Menyedari sumber pendapatan yang dimiliki agak terbatas, semakin ramai rakyat Malaysia yang memilih jalan dengan melakukan dua pekerjaan demi kelangsungan hidup, tanpa memikirkan beban yang mungkin akan memberikan kesan kepada kesihatan mental dan fisikal. Ini kerana terdapat 70 peratus daripada 1.12 juta pekerja gig di Malaysia adalah pekerja sambilan, yang turut membabitkan golongan pekerja formal. (https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/09/1130677/fleksibiliti-ekonomi-gig-dorong-pertumbuhan-ekonomi)
Kesedaran mengenai kewangan yang kukuh dan stabil bukan terletak kepada berapa gaji yang diperoleh atau berapa banyak pekerjaan yang dilakukan, sebaliknya pemahaman mengenai pengurusan kewangan yang sihat melalui teknik atau kaedah yang boleh memberi impak kepada keperluan di masa depan.
Pelajari dan fahami dengan mendapatkan bimbingan daripada pakar pelaburan atau kewangan yang bertauliah, yang dapat memberikan tunjuk ajar mengenai perlunya kewangan yang stabil. Memilih saluran yang betul dan berpotensi memberi kesan kepada hasil pelaburan, akan dapat memanfaatkan tindakan untuk kehidupan yang lebih bermakna.