Kestabilan ekonomi sesebuah negara bukan sahaja dipengaruhi oleh geopolitik, pengukuhan nilai mata wang dan aliran dagangan, sebaliknya kuasa membeli rakyat turut menjadi kayu pengukur dalam menentukan kemantapan ekonomi. Tetapi, tahukah anda bahawa wanita mempunyai kuasa membeli yang cukup signifikan dalam mengatur gerak keupayaan ekonomi?
Ini kerana, wanita dianggap penentu perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah. Andai seorang wanita membelanjakan RM100 seminggu untuk keperluan harian, ia sudah membantu meningkatkan aliran ekonomi negara. Meskipun nisbah jantina penduduk Malaysia kini adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan (https://majoriti.com.my/berita/2024/05/14/penduduk-malaysia-kini-cecah-34-juta-nisbah-lelaki-lebih-ramai-berbanding-perempuan), namun kuasa beli wanita cukup besar.
Berbanding lelaki, wanita memiliki pengaruh yang luas dalam berbelanja dari segi keperluan dan kehendak keluarga serta diri sendiri. Meskipun bergelar suri rumah, keupayaan mereka dalam berbelanja adalah luas.
Tanpa kita sedar, setiap nilai yang dibelanjakan itu juga berupaya memberi lebih nilai di masa depan untuk keterjaminan keperluan serta keselesaan hidup. Mungkin kita tidak nampak setiap aliran keluar wang yang dibelanjakan, tetapi sekiranya ia dikumpulkan melalui instrumen-instrumen pelaburan seperti saham, dana amanah ataupun simpanan tetap, akan berpotensi memberikan pulangannya yang baik di kemudian hari kelak.
Diakui, cabaran pelaburan dalam bentuk saham mempunyai risiko yang besar, tetapi, jika diuruskan dengan realistik, tidak mustahil ia boleh memberikan jana dengan yang boleh dimanfaatkan.
LUMRAH RISIKO PELABURAN
Apakah risiko-risiko yang perlu dihadapi bagi setiap pelaburan? Bergantung kepada situasi semasa pasaran dan keadaan ekonomi. Sentimen politik dan pergolakan global juga turut mempengaruhi keadaan pasaran dunia. Oleh itu, tiada jangkaan yang tepat mengenai risiko pasaran.
Namun, jika kita memahami struktur produk pelaburan berserta risiko yang akan dihadapi, peluang untuk meraih pulangan mungkin menjadi lebih realistik. Sebagai pelabur, kekuatan emosi dan kesabaran turut mempengaruhi pelaburan yang dibuat terutamanya bagi instrumen yang mempunyai tempoh matang.
Pelaburan yang bermatlamat untuk kemudahan di kemudian hari atau untuk simpanan hari tua, selalunya mendorong pelabur untuk lebih giat melabur demi merealisasikan Impian tersebut.
Bukan soal banyak atau sedikit, tetapi mungkin lebih bergantung kepada keupayaan kita untuk mengikuti tempoh matang pelaburan demi meningkatkan potensi pulangan yang stabil serta berupaya menjadi penampan kepada kelestarian hidup.
KETERAMPILAN KEWANGAN WANITA
Kecekapan menguruskan kewangan membuatkan golongan wanita lebih arif tentang bajet. Ini kerana, wanita lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh isi rumah berdasarkan sumber kewangan yang dimiliki. Namun, tidak mustahil untuk golongan ini juga tersasar daripada landasan pengurusan kewangan. Walaupun begitu, wanita berupaya menjadi penentu kewangan dalam keluarga, meskipun hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa, contohnya seorang ibu yang berbelanja, meskipun nilai wang yang dimilikinya hanyalah sedikit.
Bukan nilai yang menjadi ukuran, sebaliknya cara dan keupayaan kita menguruskan wang. Wanita cenderung menguruskan kewangannya dengan baik dan jika mereka menjadi pelabur, mereka mungkin akan cuba mengembangkannya, memandangkan sikap golongan ini yang lebih teliti selaras dengan matlamat mereka.
Tidak hairanlah mengapa wanita mungkin lebih pandai menguruskan wang ringgit, disebabkan mereka tahu membelanjakannya dengan efisien berbanding lelaki. Mengapa para suami lebih gemar menyerahkan pengurusan perbelanjaan rumah tangga kepada isteri? Ini disebabkan kecekapan wanita dalam menguruskan kewangan, yang selalunya meninggalkan lebihan untuk disimpan.