Apa itu Black Friday?
Sekarang menjelang akhir tahun kita semakin hampir dengan perayaan Hari Natal atau Christmas yang juga bermaksud semakin banyak naik iklan “Black Friday Sales” yang dipaparkan di website-website yang berasal dari Amerika Syarikat. Macam-macam jenis diskaun yang ditawarkan mengalahkan “Singles’ Day” baru-baru ini yang merupakan perayaan berasal dari negara China. Black Friday ni sebenarnya membawa dua makna yang berbeza.
Yang lebih kontemporari atau relevan dengan waktu semasa, merujuk kepada satu hari selepas cuti Thanksgiving di Amerika Syarikat, yang secara tradisinya dianggap sebagai hari cuti umum kerana hari tersebut merupakan hari yang penuh dengan tawaran membeli-belah dan diskaun hebat. Hari tersebut juga dianggap sebagai titik permulaan bagi musim membeli-belah bagi perayaan akhir tahun.
Dalam sejarah pasaran pula, Black Friday menandakan sejarah hitam yang berlaku di dalam pasaran saham pada 24 September 1869. Pada tarikh tersebut harga emas turun menjunam diikuti pasaran saham yang turut membuat terjunan. Kejadian ini berlaku berpunca dari penjualan panik komoditi emas yang disebabkan oleh dua spekulator emas Jay Gould dan James Fisk yang cuba untuk memanipulasikan harga pasaran emas di New York Gold Exchange.
Jadi, kenapa pula hari “shopping” ni penting bagi traders dan investors?
Black Friday adalah tarikh yang penting kerana pada tarikh shopping inilah di mana banyak peniaga runcit membuat jualan yang besar bagi meletakkan mereka di dalam senarai “black” atau hitam untuk tahun ini. Black di sini merujuk kepada istilah perakaunan dan kewangan yang bermaksud syarikat yang memberikan pulangan positif. Manakala syarikat yang menunjukkan pulangan negatif dikatakan berada dalam senarai “red” atau merah.
Para peniaga runcit menandakan Black Friday ini sebagai acara tahunan yang penting bagi menentukan prestasi tahunan perniagaan mereka manakala di mata pelabur, statistik jualan pada Black Friday dijadikan salah satu cara untuk mengukur tahap perkembangan keseluruhan perindustrian runcit. Dari pandangan ahli-ahli ekonomi, mereka beranggapan bahawa perbelanjaan mendorong kepada perkembangan aktiviti ekonomi dengan jangkaan bahawa nilai jualan yang rendah pada Black Friday memberi petunjuk kepada pertumbuhan ekonomi yang terbantut.
Kesimpulannya
Berdasarkan tahun-tahun sebelum, pasaran saham di Amerika Syarikat mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berlaku peningkatan dalam aktiviti perdagangan selain pulangan yang melonjak lebih tinggi menjelang sehari sebelum “long weekend” atau hujung minggu yang panjang. Fenomena ini dikenali sebagai kesan musim cuti atau kesan hujung minggu. Ramai traders menantikan saat ini bagi memanfaatkan kesan bermusim ini.
Selain itu, harap maklum bahawa aktiviti perdagangan di pasaran saham akan turut terjejas mendekati Black Friday kerana melibatkan hari cuti tambahan pada hari sebelumnya iaitu hari Thanksgiving. Pasaran di Amerika Syarikat akan ditutup pada hari Thanksgiving manakala pada Black Friday pasaran ditutup tiga jam lebih awal. Thanksgiving dijadualkan pada Khamis ini, 22 November manakala Black Friday pada keesokan harinya Jumaat, 23 November.
#NazriKhanSquad
0 Responses
Saya berminat hendak belajar tentang saham. Boleh ajar?
Saya berminat nak belajar