Artikel

Anda Suka Emas? Ini 10 Saham Alternatif Pelaburan Emas

Anda mungkin perasan… baru-baru ini selain minyak petrol, harga emas pun turut meningkat. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sekiranya anda mengikuti berita pasaran logam kuning ini secara dekat, pastinya anda telah mendengar faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan mendadak tersebut.

Antara katalisnya adalah perang Rusia-Ukraine, ketidakstabilan politik akan menyebabkan pelabur lebih berjaga-jaga dan cenderung untuk beralih ke arah aset-aset ‘safe haven’ seperti emas, bon, saham defensif, dan juga matawang.

Gold Bar Lot

Inilah keistimewaan emas. Permintaannya sentiasa ada selagi manusia masih lagi mahukan barang kemas serta perhiasan daripada emas. Manakala ianya menjadi ‘tempat berlindung’ di kala krisis untuk tujuan simpanan kecemasan.

Namun anda mungkin tertanya-tanya, di manakah anda boleh berjual beli emas untuk tujuan pelaburan? Anda mungkin risau untuk menyimpan emas fizikal di rumah atas faktor keselamatan atau ketiadaan ruang. Atau mungkin anda tidak gemar dengan jurang harga beli dan jual (spread) yang ditawarkan di pasaran waktu ini.

Berita baik, di sini kami senaraikan 10 saham yang boleh dijadikan alternatif kepada pelaburan emas fizikal, kerana turun naik harganya adalah bersandarkan emas. Harus diingat, saham-saham ini menjejak harga emas, namun permintaannya masih terdedah dengan faktor luaran seperti prestasi syarikat, dividen yang ditawarkan, prospek syarikat, projek yang diperoleh, dan lain-lain. Maka, pergerakan harganya tidaklah 100% mengikut nilai emas.

Perhatian: Senarai saham yang disebutkan bukanlah saranan dan memerlukan kajian terperinci sebelum sebarang urusniaga dijalankan. Sila dapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan profesional yang bertauliah sekiranya perlu.

1. Barrick Gold Corp. (GOLD)

Barrick Gold adalah sebuah syarikat perlombongan emas dan tembaga yang berpengkalan di Kanada. Syarikat ini menumpukan pada pengoperasian aset perlombongan ‘Tier One’. Mereka mendefinisikannya sebagai operasi yang mampu menghasilkan lebih 14 tan emas setahun, dengan jangka hayat produktif sekurang-kurangnya 10 tahun, dan kos rendah seperti yang ditakrifkan oleh jumlah kos setiap auns.

Barrick Gold mempunyai pelbagai lokasi geografi perlombongan emas termasuklah di Argentina, Kanada, Cote d’Ivoire, Republik Congo, Republik Dominican, Mali, Tanzania dan Amerika Syarikat. Manakala lombong tembaga mereka pula terletak di Zambia, Chile dan Saudi Arabia.

Setakat hari ini, Barrick Gold didagangkan pada tanda harga USD 24 per unit menjadikan syarikat tersebut bernilai USD 42.47 bilion secara keseluruhan.

2. Franco-Nevada Corp. (FNV)

Franco-Nevada Customer Service Phone Numbers And Headquarters

Turut berpengkalan di Kanada, Franco-Nevada ialah sebuah syarikat yang memfokuskan kepada royalti dan aliran mengikut komoditi, geografi, jenis hasil dan peringkat projek. Syarikat ini memiliki portfolio yang pelbagai melalui perjanjian yang terikat dengan emas, perak, kumpulan logam platinum, bijih besi, dan minyak dan gas.

Franco-Nevada mencatatkan pada suku kedua tahun 2021, 56% daripada pulangannya adalah hasil emas.

Franco-Nevada mencatatkan harga dagangan USD 155 sesaham dengan markep capitalisation sebanyak USD 29.58 bilion.

3. BHP Group Ltd. (BHP)

BHP Billiton Logo - LogoDix

Berpengkalan di Australia, BHP Group memegang rekod market capitalisation terbesar dengan nilai AUD 234 bilion. Syarikat ini beroperasi di pelbagai tempat di mana sahaja bahan mentah boleh diekstrak daripada perut bumi termasuklah batu arang, minyak dan gas, tembaga, perak, zink, molibdenum, uranium, dan bijih besi.

Emas juga adalah salah satu hasil yang digali oleh BHP, namun ianya hanyalah salah satu produk untuk syarikat mempelbagaikan portfolio mereka. Maka dapat difahami bahawa emas bukanlah satu-satunya faktor yang akan menggerakkan harga saham BHP.

BHP didagangkan di bursa ASX pada harga AUD 46 per unit, dan memegang nilai keseluruhan syarikat pada tanda harga AUD 235 bilion.

4. Rio Tinto Ltd. (RIO)

Rio Tinto - Smart Energy Decisions

Rio Tinto, satu lagi syarikat perlombongan yang bertapak di Australia mempunyai operasi utama dalam penerokaan, pengeluaran, pemprosesan, pembangunan dan pemasaran bahan mineral dan logam.

Antara produk yang menjadi sasaran Rio Tinto adalah bijih besi, aluminium, tembaga, berlian, uranium, borat, bauksit, emas, perak, titanium dioksida dan molibdenum. Pada 2021, Rio Tinto telah berjaya menghasilkan lebih kurang 9.6 tan emas dan 115.7 tan perak.

Rio Tinto mencatatkan harga AUD 110 di bursa ASX, menjadikan nilainya AUD 178.8 bilion keseluruhan.

5. Gold Fields Ltd. (GFI)

Goldfields Ghana Limited to cut sod for the upgrade of T&A Park on February 27

Diasaskan pada 1887, Gold Fields kini mempunyai rizab di America Selatan, Afrika dan Australia. Syarikat ini turut meneroka deposit tembaga, namun seperti yang tertera pada namanya, pasti anda sudah tahu bahawa fokus utamanya adalah emas.

Gold Fields kini mengeluarkan sekitar 62.5 tan hasil setahun. Tidak perlu risau kerana menurut perkiraan mereka, dengan 9 lombong yang beroperasi masih terdapat dalam anggaran 3,237 tan hasil yang berpotensi untuk dikorek dan dengan kadar operasi sedia ada, kesemua lombong akan kehabisan hasil dalam tempoh lebih 50 tahun lagi.

Anda boleh mendapatkan saham yang didagangkan di bursa Afrika Selatan ini melalui ADR di pasar NYSE dengan tanda harga USD 16 per ADR.

6. Newmont Corp. (NEM)

Newmont Corporation Logo Vector - (.SVG + .PNG) - SearchVectorLogo.Com

Hadir dengan USD 59 bilion nilai pasaran, Newmont menjadi salah satu daripada pengeluar bahan logam terbesar bermacam jenis di Wall Street. Pun begitu, majoriti pengeluaran hasil tembaga, perak, zink dan plumbum adalah hasil sampingan dibandingkan dengan operasi perlombongan emasnya yang bertapak di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Afrika.

Pada penghujung 2020, Newmont mencatatkan rizab emas sebanyak 2,628 tan melalui lombong milikannya dengan jumlah seluas 36,600 batu per segi. Newmont didagangkan pada tanda harga USD 74 per unit saham.

7. Pretium Resources Inc. (PVG)

Pretium Resources Stock Forecast, Price & News (NYSE:PVG)

Pretium ialah syarikat perlombongan Kanada yang dinilaikan bawah USD 3 bilion. Kegiatan utamanya adalah cari gali deposit emas dan perak. Meskipun syarikat ini tidaklah berprofil tinggi seperti syarikat perlombongan lain, namun mereka bernasib baik kerana Pretium memegang 100% kepentingan meliputi kawasan seluas kurang 15 batu per segi di barat laut British Columbia.

Malah prestasi syarikat ini berjaya mengatasi banyak syarikat yang sama dengannya dengan hampir 30% keuntungan pada 2021, mengambil kira lonjakan sekitar 75% daripada paras terendah musim panasnya.

Kini, Prestium memegang harga USD 15 di pasaran NYSE dan memiliki market capitalisation sekitar USD 2.83 bilion.

8. Wheaton Precious Metals Corp. (WPM)

Silver Wheaton is now Wheaton Precious Metals - WPM

Wheaton yang bernilai USD 21.54 bilion ini membuat keuntungan daripada hasil logam berharga daripada deposit emas, perak, paladium sehinggalah kobalt.

Sehingga kini Wheaton mengoperasikan 2 dozen aset perlombongan dan dalam usaha membangunkan 7 lagi aset untuk memastikan kelangsungan aliran logam berharga. Laporan pada 2020 menyatakan Wheaton telah mengeluarkan sekitar 12 tan hasil logam.

Wheaton didagangkan pada tanda harga USD 48 sesaham di pasaran NYSE.

9. Newcrest Mining Ltd. (NCM)

Newcrest Mining - Wikipedia

Syarikat perlombongan emas dan tembaga ini bertapak di Australia. Aktiviti utamanya ialah penerokaan, pembangunan tapak lombong, pengoperasian lombong, dan penjualan emas dan campuran emas dan tembaga. Syarikat tersebut memiliki dan mengoperasi saliran paip dalam projek penerokaan brownfields dan greenfields.

Di pasaran ASX, Newcrest boleh didagangkan pada harga terkini AUD 25. Secara keseluruhan, syarikat ini bernilai AUD 22.51 bilion.

10. Royald Gold Inc. (RGLD)

Royal Gold (RGLD) Stock Price, News & Info | The Motley Fool

Mempunyai tanda harga yang termahal dalam senarai ini, Royal Gold merupakan pesaing Franco-Nevada yang turut menyusuri bisnes royalti dan aliran logam berharga. Syarikat ini mempunyai 2 segmen utama: ‘Acquisition and Management of Stream Interests’ dan ‘Acquisition and Management of Royalty Interests’.

Royal Gold memiliki perjanjian dalam lebih kurang 187 properti dalam 5 kontinen, termasuklah perjanjian dalam 41 lombong penghasilan dan 17 projek fasa pembangunan.

Setakat ini, harga Royal Gold di pasaran Nasdaq sekitar USD 140, dengan market capitalisation USD 9 bilion.

Haaa.. Menarik kan?

Di bawah kami tunjukkan perbezaan antara harga emas berbanding saham-saham di atas.

Garisan tebal berwarna hitam menunjukkan pergerakan harga emas. Perbandingan diukur berdasarkan peratusan pergerakan bagi tempoh 1 tahun.
Garisan tebal berwarna hitam menunjukkan pergerakan harga emas. Perbandingan diukur berdasarkan peratusan pergerakan bagi tempoh 1 tahun.

Amacam? Sekarang anda dah nampak kan macam mana anda boleh melabur emas secara tidak langsung? Inilah kelebihan pasaran saham, kita boleh terlibat dengan macam-macam bisnes. Emas boleh, hartanah pun boleh. Hanya melalui satu akaun, kita boleh jadi pemilik saham-saham ini.

Apa lagi? Jom tag kawan-kawan yang gilakan emas! Mungkin artikel ini boleh bantu rakan-rakan anda yang nak melabur dalam emas tetapi tidak mahu pegang emas fizikal.

*Kesemua saham syarikat di atas berstatus syariah menurut MuslimXchange dan/atau IdealRatings

Sumber: Motley Fool, US News, MuslimXchange

KENYATAAN PENAFIAN:
Perkongsian ini bertujuan pendidikan sahaja. Perkongsian ini tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti mengumpul duit serta tidak akan memberitahu anda saham mana yang patut dibeli atau tidak. Sebarang saham-saham yang dikongsikan adalah bertujuan pembelajaran sahaja. Perubahan harga yang lepas tidak menjanjikan keuntungan di masa akan datang. Sebarang tindakan atau keputusan atau jual, beli saham adalah keputusan sendiri.

share it :
en_US