Artikel

Adakah kita mampu menjadi penentu kewangan masa depan?

Adakah kita mampu menjadi penentu kewangan masa depan?

Tanpa kita sedar, perubahan teknologi dan kemajuan era globalisasi mempengaruhi peranan serta fungsi manusia dari masa ke semasa. Siapa sangka pertumbuhan ekonomi kini semakin dipengaruhi oleh kecanggihan teknologi sehingga membawa kepada wujudnya kecerdasan buatan atau AI, yang mula mengambil tempat dalam kehidupan. 

Tidak dinafikan, kewujudan teknologi kini sedikit sebanyak membantu memudah cara sistem kehidupan seperti pekerjaan, pemikiran dan fungsi pentadbiran. Persoalannya, bersediakah kita apabila peranan kita diambil alih oleh teknologi kelak? Bagaimana dengan fungsi dan corak kehidupan kita nanti?

Umum mengetahui, manusia berperanan mengerakkan ekonomi dan menjana pertumbuhan sesebuah negara. Namun, jika sistemnya ditadbir urus oleh kecanggihan teknologi sepenuhnya, adakah peranan manusia masih sama dalam menentukan waktu sesuai pasaran dan keupayaan sesebuah ekonomi?

Untuk rekod, data Maybank Investment Bank (Maybank IB) mencatatkan jumlah individu yang diberhentikan kerja pada Mei lalu meningkat 38.2 peratus (https://dagangnews.com/article/jumlah-invdidu-diberhenti-kerja-meningkat-382-yoy-259-mom-maybank-ib-38010) berbanding tahun sebelumnya. Andai teknologi menguasai peranannya dalam ekonomi, bagaimana dengan keupayaan manusia kelak?

Meskipun peranan AI kian menjadi perhatian dan sudah menjadi keperluan dalam beberapa sektor industri, akan tetapi fungsi manusia masih menjadi keutamaan dalam mengatur gerak sistem ekonomi, tetapi, bersediakah kita berdepan masalah pengurangan tenaga kerja manusia apabila teknologi mengambil alih tugas manusia? 

IMPAK KEPADA SUMBER KEWANGAN

Seandainya manusia tidak lagi berupaya berada dalam pasaran pekerjaan, nescaya tiada sumber pendapatan bergaji, yang akan turut menjejaskan ekosistem ekonomi isi rumah.  Walaupun ekonomi negara meningkat, namun, kegagalan fungsi tenaga kerja manusia akan menyebabkan peningkatan ketara peratusan pengangguran. 

Jika keadaan itu tercetus, berapa peratuskah simpanan yang kita ada untuk menampung kehidupan kelak? Jikalau sekadar simpanan di bank sahaja mungkin tidak memadai untuk menjamin keperluan masa depan tanpa ada tabungan sampingan. Sekiranya simpanan yang ada ketika ini tidak digunakan untuk dikembangkan atau dijana bagi keperluan mendesak kelak,  barangkali kesannya akan dirasai di kemudian hari. 

Peluang pelaburan seperti melalui unit amanah, saham serta emas antara mekanisma yang diguna pakai serta mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sekarang. Ini kerana, keupayaan dalam pelaburan tersebut dijustifikasikan sebagai berupaya membantu menampung keperluan akan datang. Diakui setiap pelaburan berhadapan dengan risiko yang tersendiri, tetapi faedah kompaun yang diterima bagi sesetengah instrumen pelaburan berpotensi menampung keperluan kita nanti. 

Tidak ramai yang mahu mengambil tahu mengenai kelebihan pelaburan, kerana kebanyakkannya memandang ia satu kaedah yang berisiko tinggi serta memerlukan masa lama untuk menikmati hasil. Malah, ada yang beranggapan ia hanya untuk mereka yang berkemampuan atau bergaji tinggi.  

Hakikat sebenar, ramai yang berupaya melibatkan diri dalam pelaburan. Cuma mungkin kurang arif dan tidak memahami konsep pelaburan itu sendiri. Lebih-lebih lagi jika  disogok oleh maklumat serta tanggapan negatif mengenai keburukan dalam pelaburan membuatkan ramai yang gusar untuk menjadi pelabur. 

LANGKAH PENENTU KEPERLUAN MASA DEPAN

Sekiranya kita meletakkan keperluan mendatang sebagai satu kepentingan bagi keterjaminan kelangsungan hidup di masa depan, sudah pasti langkah awal sudah diambil daripada sekarang. Bagi yang menyimpan impian untuk memiliki sebuah kediaman yang lebih selesa, mempunyai sebuah kenderaan yang lebih besar serta berhasrat untuk mengadakan majlis perkahwinan secarabesar-besaran, pastinya sudah memulakannya dari sekarang bagi menghasilkan pulangan untuk masa depan. 

Tumpukan matlamat yang ingin dicapai dengan mencari instrumen yang selaras dengan keinginan yang ingin diperolehi. Bukan sekadar mendabik dada menunggu peluang datang tanpa sebarang tindakan, kerana hasil tidak datang bergolek andai tidak diusahakan. 

Mungkin hasilnya tidak nampak sekarang, namun, jika dimulakan seawal mungkin, potensi keuntungan boleh menjadi lebih ketara. Nilai sesuatu pelaburan juga bergantung kepada keupayaan sumber kewangan yang dimiliki dan jika tinggi nilainya, ia berkemungkinan berupaya menjana keuntungan yang mungkin mampu menampung keperluan mendatang kelak. 

Ssetiap tindakan dan langkah awal yang diambil selari mengikut keperluan mendatang, tidak mustahil ia mampu membantu kemampanan kewangan anda jika kena kaedahnya serta juga memahami risiko-risiko yang mungkin terdedah untuk sesuatu instrumen pelaburan tersebut. 

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *