Ramai di antara kita yang mempunyai impian dan keinginan untuk direalisasikan sama ada dalam masa singkat atau panjang, bergantung kepada keupayaan kewangan. Ada yang berhasrat untuk memiliki kediaman yang selesa, kereta yang besar serta tidak kurang juga yang mengimpikan untuk mengelilingi dunia sebelum bersara.
Tetapi, cukupkah sumber kewangan yang ada? Andai pendapatan bulanan yang diperolehi sekadar cukup untuk mengalas perut selama sebulan, mana mungkin impian atau keinginan dapat dinikmati. Bahkan ada yang sanggup mengikat perut untuk memiliki sesuatu yang diidamkan.
Tidakkah cara sedemikian berupaya merisikokan beban kewangan dan kesihatan diri? Fikirkan cara yang lebih efisien dan berupaya untuk merealisasikan kehendak diri tanpa perlu mengorbankan duit poket yang dimiliki. Cuma, kesanggupan, kesabaran dan kekuatan mental menjadi tunjang untuk menggapai impian.
Tidak ramai yang memandang pelaburan saham dari sudut yang positif, kerana tidak tahu cara dan saluran yang betul untuk menjadi pelabur. Modal pelaburan adalah pekara asas, tetapi, tujuan sesuatu pelaburan, keinginan dan matlamat yang akan mendorong seseorang itu untuk terus bergiat sebagai pelabur.
Sejauh mana kita bersedia untuk miliki apa yang diidamkan, tanpa perlu menekan sumber kewangan peribadi. Ada orang sanggup berhutang untuk menjayakan majlis perkahwinan yang besar dan gah, tanpa memikirkan implikasinya selepas menjalani kehidupan berumah tangga.
Sebarkan manfaat untuk dikongsi bersama
Pelaburan saham bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini, cuma tidak ramai yang mahu mengambil tahu mengenai potensi kompund yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kestabilan kewangan. Walaupun berkemungkinan menghadapi risiko kerugian dalam pelaburan saham, namun kehidupan bukanlah tanpa cabaran atau ujian.
Bukan sekadar pelaburan, sebaliknya setiap sesuatu tindakkan pasti ada cabaran ataupun risiko tertentu yang perlu dihadapi, sama ada dalam kehidupan peribadi mahupun berkeluarga atau pekerjaan. Tetapi, cara dan kaedah yang diambil bagi menangani cabaran serta risiko terbabit akan menentukan keberhasilannya dalam menangani masalah yang dihadapi.
Belajar daripada insan yang pernah melakar pencapaian dalam kehidupan sebagai suri teladan untuk panduan. Begitu juga dalam pelaburan, fahami langkah atau tindakan sewajarnya yang perlu diambil dari mereka yang bertauliah dan juga berlesen, kerana ianya boleh mengingkatkan pengetahuan dalam bidang pelaburan bagi membantu kelastrian kewangan diri.
Tidak ada yang indah jika tidak dimulakan dengan yang pahit. Begitulah dengan kehidupan, tidak ada yang berjaya tanpa ada kegagalan. Sematkan matlamat sebenar dalam fikiran untuk tingkatkan pengatahuan dalam pelaburan saham demi menggapai impian dengan lebih mudah tanpa perlu bersusah-payah, berhempas-pulas demi keselesaan hidup di masa depan.





