Artikel

Stabilkan hutang demi kesejahteraan hidup

Stabilkan hutang demi kesejahteraan hidup

Hidup tanpa hutang agak jarang didengari, namun di zaman serba memerlukan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, berhutang ibarat lumrah dalam kehidupan. Hakikatnya, ramai yang terjerat dengan permasalah itu sehingga membelenggu diri.

Terpengaruh dengan tawaran daripada pihak bank atau syarikat pemberi pinjaman membuatkan ramai yang melihat itu sebagai cara mudah untuk memiliki kewangan segera tanpa memikirkan kadar faedah yang perlu ditanggung kelak. 

Malah, ada yang tergadai harta dan lesap mata pencarian disebabkan oleh kegagalan melunaskan hutang. Kadar peratusan hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada RM1.53 trilion kepada RM1.57 trilion setakat Jun tahun lalu, yang menyaksikan hutang peribadi dan kenderaan antara 12.4 peratus hingga 13.5 peratus. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1317239/hutang-isi-rumah-naik-kepada-rm157-trilion-bersamaan-838-peratus)

Ini menunjukkan peratusan kebergantungan terhadap hutang dalam kalangan rakyat Malaysia cukup tinggi. Malah, jika tidak dikawal, nescaya sikap gemar berhutang dalam kalangan rakyat akan menjadi satu budaya yang kesannya berupaya menjerat kehidupan. 

Didikan dan pemahaman mengenai pentingnya menambung atau menyimpan perlu di asah dalam kehidupan agar tidak bergantung kepada hutang pinjaman. Di Malaysia, amalan berhutang sudah sinonim dalam kehidupan masyarat terutamanya melibatkan pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, bahkan hutang kad kredit. 

Meskipun Islam tidak melarang umatnya untuk berhutang, namun tidak digalakkan jika ia dikhuatiri boleh menjadi satu bebanan kepada penghutang ketika hendak membayarnya. (https://www.hmetro.com.my/addin/2024/11/1151461/banyak-tanggung-hutang-mengundang-al-hamm%C2%A0

Fahami konsep berhutang dan kesannya

Meskipun tiada halangan dalam bermuamalat atau berhutang, namun setiap orang perlu tahu tanggungjawab dan kesannya terhadap diri sendiri serta orang sekeliling. Ini kerana, Islam menuntut ahli keluarga untuk melunaskan segala hutang piutang si mati selagi mana hartanya masih ada atau menanggung segala hutang yang ditinggalkannya.

Disebabkan itu, simpanan, tabungan dan pelaburan sangat digalakkan dalam masyarakat agar peka mengenai keperluannya kelak. Hakikatnya, masih ramai yang memandang remeh mengenai konsep pengurusan kewangan ini atas faktor kekangan kewangan. 

Sebaliknya, ramai yang lebih gemar berbelanja melampaui batas kewangan demi kepuasan gaya hidup serta memenuhi keinginan diri. Jika setiap bulan diperuntukan 10 peratus daripada pendapatan untuk keperluan masa depan melalui simpanan atau pelaburan, tidak mustahil ia mampu memberikan lebih keinginan untuk direalisasikan. 

Tetapi, golongan muda khususnya lebih gemar membelanjakan pendapatan bulanan untuk kepuasan diri tanpa memikirkan keperluan di masa depan. Ini kerana rata-rata yang berhutang atau terjebak dengan pinjaman adalah golongan belia yang berusia bawah 30 tahun, dianggarkan kira-kira 53,000 individu. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1305205/53000-belia-terbeban-hutang-rm19-bilion-negara-perlu-tingkatkan)

Oleh itu, pendedahan dan pendidikan mengenai pengurusan kewangan penting untuk memahamkan masyarakat mengenai keperluan menyimpan atau melabur demi kelestarian hidup di masa depan, terutamanya selepas bersara kelak. 

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US