Artikel

Singapura dan Malaysia perlu saling melengkapi

Singapura dan Malaysia perlu saling melengkapi

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Bukan masanya untuk bersaing dengan Singapura, sebaliknya, jadikan limpahan ekonomi negara jiran dan Malaysia sebagai satu komponen untuk saling melengkapi.

Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan, berkata Singapura sepatutnya menjadi pelangkap kepada Malaysia dengan sumber yang dimiliki serta perkembangan ekonomi negara jiran itu untuk bersama-sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Kenapa sekarang kita mahu bersaing dengan Singapura? Kenapa kita cemas dengan Singapura? Saya nampak ramai orang cemas dengan Singapura. Kita sepatutnya menjadi pelengkap kepada Singapura sebab Singapura tak cukup tanah.

“Jadi, saya rasa benda ini kita boleh saling melengkapi. Di Malaysia ini ramai orang cakap integrasi mendatar. Masalahnya kita kena menegak, maksudnya kita kena ada niche dan sepadukan dengan Singapura dan Indonesia,” katanya.

Memandangkan Malaysia kini merupakan pengerusi ASEAN, beliau berkata, ini adalah masa terbaik untuk negara merubah kepada integrasi menegak, memandangkan Malaysia mempunyai semikonduktor yang sangat bagus.

Katanya, dengan adanya AI dan pusat data serta kejuruteraan, Malaysia sepatutnya meletakkan diri sebagai pelengkap kepada Singapura atau Indonesia, bukannya ‘berlawan’ dengan negara jiran.

“Kita kena letak diri kita sebagai rakan kepada semua ini, tetapi dalam konteks berlainan. Mungkin kita ada sektor perkhidmatan yang bagus, tetapi, tidaklah sehebat Singapura.

“Namun, kita ada gaji lebih murah dan ada perbankan Islam di mana perkhidmatan kita lebih baik. Sebab itu saya katakan, produktiviti perlu diberikan tumpuan kepada masyarakat pertengahan,” katanya.

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US