KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dianggap peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Amerika Syarikat, jika Kamala Harris dilantik sebagai Presiden wanita pertama negara Uncle Sam itu.
Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan, berkata ini kerana banyak dasar yang dibawa Harris termasuk keterbukaan dengan negara-negara luar akan memberi limpahan kepada ekonomi ASEAN termasuk Malaysia.
Jelas beliau, hubungan ASEAN dengan Amerika Syarikat akan lebih erat dengan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) seperti pasaran saham, tukaran asing dan pelbagai penurunan.
“Tetapi, jika Donald Trump yang mengambil alih pemerintahan, akan berlaku beberapa dagangan yang akan memberi masalah kepada China. Namun, ini akan memberi berkat kepada Malaysia.
“Ini kerana, negara-negara yang dekat dengan China terpaksa keluar daripada negara itu dan memilih negara lain yang hampir dengan China, termasuk Malaysia. Ini yang pernah berlaku pada tahun 1980-an ketika Jepun bergaduh dengan Amerika Syarikat, menjadikan Malaysia sebagai ‘tiger economy’,” katanya.
Dr Nazri Khan berkata, Malaysia perlu melihat perihal dalaman dengan memperkuatkan kecekapan daya saing serta polisi, disamping pelaksanaan yang jelas dari segi pengkelasan ekonomi dan pendapatan rakyat.
“Kita perlu optimis yang ekonomi Malaysia akan kekal mampan walau siapa yang akan memimpin Amerika Syarikat. Namun, hal dalaman negara yang perlu diberikan tumpuan dengan dasar-dasar yang dibawa.
“Ini termasuklah terma T15 yang sedang hangat diperkatakan. Siapa golongan T15 ini? Dari segi polisi kita bagus, tetapi, bagi saya siapapun yang akan menang, kita boleh mainkan peranan,” katanya.