KUALA LUMPUR, 11 Nov – Malaysia dijangka akan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) jika Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah, yang memaksa negara-negara untuk mengurangkan pelarian modal (capital flight).
Penganalisis Ekonomi, Dato Dr Nazri Khan, berkata ketahanan fiskal negara perlu kuat dan kukuh, apatah lagi dengan tindakan kerajaan mewujudkan Akta Tanggungjawab Fiskal.
“Kalau kadar faedah Amerika Syarikat turun, kurang tekanan kepada Malaysia. Semestinya kenaikan kadar faedah ini akan memberi impak kepada OPR Malaysia.
“Jadi, kerajaan kena seimbangkan antara fiskal dan juga pertumbuhan ekonomi. Kalau Donald Trump menang, saya jangkakan dolar akan naik dan kuat, manakala Ringgit akan teruskan aliran menurun,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan e-invoice oleh kerajaan adalah sesuatu yang bagus untuk fiskal, tetapi, mungkin akan memberikan sedikit beban kepada syarikat-syarikat kecil dari segi meningkatkan teknologi, latihan tenaga kerja dan sebagainya.
Beliau berkata, Malaysia perlu bersikap natural dan tidak terlalu pro Amerika atau China kerana akan memberikan impak negatif kepada ekonomi negara, apatah lagi dengan langkah kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat data.
“Walaupun Google sudah melabur, Microsoft juga, saya harap situasi yang berlaku ini (perbalahan Amerika Syarikat – China) tidak memberi kesan kepada perancangan menjadikan Malaysia sebagai pusat data,” katanya.