Artikel

Kad kredit satu keperluan atau bebanan?

Kad kredit satu keperluan atau bebanan?

Ramai dalam kalangan kita boleh dikatakan memiliki sekurang-kurangnya satu keping kad kredit, yang dikatakan berupaya sebagai alat bantuan kewangan di kala kecemasan. Namun, disebalik peranannya bagi membantu keperluan pengguna, fungsinya juga boleh mengancam kewangan anda sekiranya kurang berdisiplin dengan penggunaannya. 

Bagi yang bijak mengendalikan atau menggunakan kad kredit yang dianggap sebagai antara keperluan gaya hidup itu, ia boleh menjadi pemangkin kepada kelancaraan  aliran kewangan. Meskipun sistem pembayaran secara digital seperti QR pay, e-dompet dan pembayaran dalam talian kini semakin meluas, namun fungsi kad kredit masih menjadi perhatian pengguna sebagai alat sokongan kewangan. 

Ini kerana, ia dianggap hutang pinjaman jangka pendek dimana pengguna perlu membayar balik jumlah yang dibelanjakan dalam tempoh yang singkat atau pada bulan yang sama ia dibelanjakan. Fungsinya adalah untuk membantu keperluan pengguna, seperti untuk pembayaran untuk kemasukan ke wad hospital swasta, serta pelbagai keperluan yang mendesak, membuatkan ia menjadi pilihan ramai. 

Tetapi, ramai juga yang melihat kad kredit sebagai bebanan dan boleh menjejaskan keadaan kewangan pengguna. Kadar faedah yang tinggi juga membuatkan ada kalangan masyarakat agak berkira-kira untuk memilikinya walaupun berkemampuan. Bayangkan jika gagal membayar pada tempoh yang ditetapkan, pengguna-pengguna kad kredit itu akan berdepan dengan risiko bebanan hutang yang boleh menjerat diri mereka.

Sampai bila harus bergantung harap kepada sumber kewangan yang boleh merosakkan diri dan masa depan kewangan anda? Fikirkan mekanisma yang boleh meningkatkan dan melestarikan kewangan tanpa perlu dibebani huntang atau mengharapkan pinjaman kewangan. Kebaikan kad kredit mungkin dapat membantu ketika memerlukan, namun tidak bagi seseorang yang boros. 

Kembangkan kewangan masa depan 

Tidak salah untuk memiliki, tetapi harus bijak mengawal keinginan diri. Sebaiknya, perkukuhkan kewangan peribadi agar lebih stabil dengan menghindari daripada terjebak masalah bebanan hutang daripada penggunaan kad kredit. Individu yang memandang ke hadapan, biasanya akan merebut peluang untuk mengembangkan sumber kewangan daripada terjerat dengan hutang berpanjangan. 

Pelajari dan fahami cara untuk merapatkan jurang pendapatan yang tidak sekata, agar tidak melihat pinjaman kewangan sebagai alternatif untuk keluar daripada kesempitan. Natijahnya, kelak akan lebih mengusutkan fikiran dan menghenyak mental untuk berdepan dengan kemelut kewangan. 

Pelbagai cara dan pendekatan yang boleh dipraktikkan bagi memperkukuhkan kewangan, selain daripada mencari sumber pendapatan tambahan melalui pekerjaan kedua ataupun melakukan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan, pelaburan adalah antara langkah yang berpotensi untuk meningkatkan kewangan. 

Ia boleh dilakukan tanpa perlu memikirkan peluang untuk menjana pendapatan kedua melalui perdagangan produk di premis-premis perniagaan ataupun meneroka peluang pekerjaan sambilan (part-time), kerana modal bagi sesuatu instrumen pelaburan yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan yang berlesen akan diuruskan serta dipantau oleh Pengurus Dana yang bertauliah.

Cuma, matlamat pelaburan serta pemilihan instrumen pelaburan yang sesuai dengan risiko yang dipilih haruslah difahami dengan lebih jelas supaya tidak tersentak apabila berdepan dengan sesuatu cabaran pelaburan seperti kehilangan modal pokok sebagai contoh. 

Tiada pelaburan yang dapat menjanjikan imbuhan yang tinggi, tetapi kebiasaanya dengan pengalaman oleh sesorang Pengurus Dana yang bertauliah dan berlesen serta juga instrumen yang dipilih itu adalah keterampilan, akan menjadikan pelaburan itu lebih berpotensi  untuk menggerakkan pertumbuhan kewangan masa depan anda. 

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US