Artikel

Hentikan tabiat cukup makan

Hentikan tabiat cukup makan

Sikap cukup makan dan memadai dengan apa yang dimiliki melalui pendapatan melalui sesuatu pekerjaaan, membuat rata-rata di kalangan kita cenderung untuk kurang menitikberatkan keperluan masa depan. Mungkin kerana memikirkan pendapatan itu walaupun hanya sekadar untuk cukup makan, ianya sudah memadai untuk melunaskan segala hutang-piutang. Oleh yang sedemikian ramai yang agak yakin untuk meneruskan kehidupan mendatang dengan hanya berbekalkan sumber dari pendapatan bulanan sahaja. 

Hakikatnya, tanpa ada simpanan yang kukuh dan stabil, seseorang itu mungkin belum berupaya untuk meletakkan dirinya berada dalam zon selesa dan selamat. Ini kerana, musibah boleh berlaku tanpa dijangka, yang juga mampu meranapkan sumber pendapatan, contohnya mengalami kecederaan yang kekal boleh membuatkan seseorang itu tidak lagi mampu bekerja mahupun bersandarkan pada sumber gaji yang diperolehinya sebelum ini. 

Bagi yang masih bujang, biasanya tanggungjawab dipikul itu kurang membebankan, tetapi bagi yang sudah berkeluarga, semestinya tanggungjawab mereka lebih besar, dan kesannya akan dirasai andai tiada simpanan yang mencukupi. Begitu juga jika mempunyai anak-anak yang masih bersekolah akan lebih memerlukan tabung kewangan yang agak besar, berbanding mereka yang sudah mampu melepaskan anak-anak untuk berdikari sendiri. 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui portal rasminya turut menyarankan orang ramai terutamanya pencarum untuk tidak berasa selesa dengan kehidupan yang sekadar cukup makan. Sebaliknya, mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam soal kewangan kendiri, demi kelestarian hidup di masa hadapan. Mengutamakan simpanan seperti mempraktikkan penambahan wang caruman KWSP melalui sumbangan sukarela dan caruman melebihi kadar berkanun secara sukarela antara contoh untuk mempergiatkan dana simpanan kendiri yang boleh diamalkan. (https://www.kwsp.gov.my/ms/w/artikel/tabiat-cukup-cukup-makan?utm_medium=mip&utm_source=app_web&utm_campaign=finlit) dan https://www.kwsp.gov.my/ms/w/artikel/tingkatkan-simpanan-anda)

Saranan atau kempen yang diadakan oleh KWSP tersebut itu sepatutnya diikuti untuk mengukuhkan tabungan persaraan supaya tidak terjerat dengan beban kewangan di masa hadapan. Bukan sekadar untuk memenuhi keperluan mendatang, tetapi juga bagi  meningkatkan keselesaan hidup 

Langkah hentikan hidup cukup makan 

Antara penekanan yang dititikberatkan KWSP adalah mengutamakan pembayaran bil bagi segala keperluan asas dan juga simpanan peribadi mahupun keluarga dahulu sebelum berbelanja untuk pekara yang kurang penting ataupun kehendak. Dengan memperuntukkan sejumlah wang daripada pendapatan bulanan dengan menyimpannya secara automatik setiap bulan, wang tersebut berupaya menjadi simpanan diwaktu kecemasan.

Malah dengan mengamalkan langkah berbelanja secara berhemah seperti mengurangkan perbelanjaan yang tidak berapa penting termasuk aktiviti-aktiviti hiburan ataupun pekara-pekara yang kurang diperlukan, seperti makan di luar, dan pembelian impulsif, kita berupaya untuk menyalurkan lebihan duit itu ke dalam simpanan dan pelaburan.

Pelaburan melalui simpanan KWSP adalah antara mekanisma yang dilihat boleh membantu memantapkan keadaan kewangan. Langkah ini boleh dijadikan sebagai peluang untuk menambah pendapatan daripada melakukan kerja lebih masa, kerja sambilan, atau berniaga secara kecil-kecilan yang mungkin membebankan. 

Oleh itu untuk keluar daripada kitaran hidup yang cukup-cukup makan, haruslah  mendisiplinkan diri dengan mengambil peluang untuk lebihkan wang simpanan kerana dengan mengikuti saranan tersebut, anda boleh mengubah cara pengurusan kewangan dengan bijak bagi mencapai matlamat kewangan jangka panjang yang anda inginkan. 

Jangan terus membiarkan diri anda terbelenggu dengan kehidupan yang agak terdesak. Bertindaklah untuk membina masa depan yang lebih cerah dan kewangan yang kukuh. Ingat, langkah pertama untuk menuju perubahan adalah dengan kesedaran terhadap kepentingan pelaburan mahupun simpanan, diikuti dengan tindakan yang berterusan dan konsisten.

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US