Artikel

Perlukah tabungan untuk anak?

Perlukah tabungan untuk anak?

Apakah persedian anda demi keperluan dan masa depan anak-anak anda? Mungkin ramai yang beranggapan keperluan harian, persekolahan dan perbelanjaan bulanan anak-anak sudah cukup memadai, tanpa memikirkan masa depan mereka. 

Malah, mungkin ada segelintir kaum Melayu yang merasakan perancangan kewangan demi keperluan masa depan anak-anak bukanlah satu kemestian, kerana anak-anak yang akan mencorakkan sendiri masa depan mereka dengan pendapatan sendiri kelak. 

Seharusnya sejak dari kecil lagi ibu bapa perlu memikirkan soal tabungan atau simpanan untuk anak-anak untuk keselesaan mereka sendiri. Bukan sekadar insurans hayat, tetapi, tabungan kewangan bagi memenuhi perbelanjaan selepas tamat persekolahan dan ketika di awal melangkah ke alam pekerjaan. 

Namun, tidak hairan jika masih ramai ibu bapa yang bergantung harap kepada bantuan pinjaman pengajian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya. Bahkan, ramai yang menantikan bantuan persekolahan yang disediakan kerajaan bagi meringankan beban tangunggan. 

Jika dididik dari awal mengenai simpanan atau tabungan di usia muda, nescaya ramai anak-anak yang bijak menghargai wang ringgit dan menguruskan perbelanjaan sendiri dengan berhemah. Mulakan langkah menggalakkan anak-anak dengan menabung dari  wang saku  yang diberikan dan sediakan tabungan kewangan kecemasan anak-anak untuk keperluan masa depan mereka. Seterusnya, ibu bapa sendiri juga sepatutnya lebih berhati-hati dalam berbelanja yang tidak sepatutnya kerana memikirkan keutamaan kepada masa depan anak-anak. 

Tabungan melalui pelaburan saham 

Tidak ramai ibu bapa yang melihat langkah ini sebagai alternatif untuk membantu keperluan anak-anak kelak. Ini kerana, beranggapan pelaburan saham memerlukan modal yang besar dan jika melibatkan anak-anak yang ramai, sukar untuk menguruskan kewangan rumah tangga. 

Sebaliknya, tabungan melalui duit raya dan belanja harian anak-anak boleh dikumpul serta dijadikan modal pelaburan. Ini kerana, tidak semua instrumen saham itu memerlukan modal yang besar, malah pelaburan dalam Unit Dana Amanah (Unit Trust) masih berupaya menjadi saluran pelaburan untuk anak-anak belajar menyimpan. Malah, volatiliti yang rendah dengan modal simpanan yang rendah, berpotensi mengurangkan risiko pelaburan yang akan dihadapi. 

Jangan jadikan modal pelaburan sebagai kekangan untuk melabur, sebaliknya fikirkan mengenai keperluan dan keselesaan masa depan dengan kewangan yang stabil dan sihat. Mungkin di peringkat awal kelihatan agak terbeban, tetapi pulangan kompaun  yang akan diterima di masa depan boleh membantu memberikan kesenangan kepada diri sendiri dan anak-anak. Siapa tahu, dengan modal  pelaburan yang sedikit berupaya membantu kejayaan anak-anak kelak tanpa perlu bergantung penuh dengan  pinjaman bank ataupun  bantuan daripada kerajaan. 

Berhadapan dengan situasi ekonomi semakin mencabar dan banyak persaingan, apatah lagi di alam pekerjaan dengan perkembangan teknologi yang semakin maju dan canggih,  persiapan awal kewangan ketika mereka masih kanak-kanak adalah penting kerana ianya berpotensi membantu menguruskan kehidupan mereka di masa depan dalam mengharungi cabaran yang semakin melebar. 

share it :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_US