KUALA LUMPUR, 26 Dis – Produk Private Mandate atau Mandat Persendirian dikhususkan bagi mengikut mandat pelabur, iaitu antaranya berdasarkan pasaran yang diingini, dengan dipantau secara langsung oleh Pengurus Dana bertauliah.
Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual Berhad (dahulunya dikenali sebagai Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd), Dato’ Dr Nazri Khan, berkata terdapat dua jenis Mandat Persendirian iaitu Discretionary dan Non-Discretionary.
Katanya, Discretionary adalah terpulang kepada Pengurus Dana untuk menguruskan dana mengikut tahap risiko yang boleh diterima oleh pelanggan. Manakala, Non-Discretionary merujuk kepada Pengurus Dana yang akan bertindak berdasarkan arahan daripada pelanggan mengenai apa yang perlu dilabur atau dijual.
“Bermaksud, kita yang buatkan pengkhususan untuk setiap pelanggan mengikut citarasa mereka mahu melabur dalam pasaran mana. Kalau pelabur tidak mahu melabur di pasaran Amerika Syarikat, kerana mahukan sektor pembalakan di Hong Kong, jadi kita akan melabur pasaran tersebut seperti dikehendaki.
“Katakanlah pelabur mahukan pulangan 50 peratus setahun dan tidak mahu rugi lebih daripada 20 peratus, kita akan cuba selaraskan bagi mengikut keperluan mereka. Produk ini lebih mesra pelabur, bukan sahaja kita boleh khususkan seperti mana contoh tadi, tetapi, pelabur boleh berinteraksi terus dengan Pengurus Dana mereka,” katanya.
Menurut Dr Nazri Khan, Mandat Persendirian boleh disertai oleh semua orang dengan bermodalkan serendah RM50,000.
Namun, produk tersebut tidak boleh didagangkan setiap waktu, memandangkan terdapat kekangan tertentu serta pemegang amanah atau custodian yang perlu tahu di mana saham tersebut dilabur.
“Contoh, pelabur mahukan saham-saham kecil di Amerika Syarikat sama ada kripto atau sebagainya, ia harus dilaburkan melalui produk ETF (exchange-traded fund), tetapi ia tidak secanggih pelabur trade sendiri kerana custodian hanya akan membenarkan melabur pada saham-saham yang diberikan mandat sahaja,” katanya.