Artikel

Ketahui hak sebagai pelabur

Ketahui hak sebagai pelabur

Pelaburan terutamanya saham, merupakan antara instrumen-instrumen kewangan yang seringkali mendapat perhatian dalam masyarakat di Malaysia, bagi mereka yang memfokuskan keperluan kewangan stabil, kukuh dan mampan di masa depan, agar tidak terlalu bergantung kepada sumber pendapatan bergaji. 

Keperluan kewangan yang mendatang, disamping cabaran ekonomi global seolah-olah mendorong individu untuk mempunyai sumber kewangan yang sihat bagi mendepani sebarang kemungkinan yang akan berlaku. 

Namun, kadangkala pelaburan akan memerlukan jangka masa yang agak lama serta juga instrumen yang sesuai dengan risiko yang dipilih, untuk berpotensi membantu seseorang individu menjalani kehidupan yang selesa di kemudian hari. 

Jangan mudah melatah andai berdepan dengan risiko kerugian, kerana lumrah  pelaburan, ianya sering berdepan risiko untung dan rugi terutamanya instrumen yang bercirikan atau berkonsepkan ‘investasi high-risk, high-return’. Sebagai pelabur sepatutnya sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan, namun perlu lebih memahami ciri-ciri suatu instrumen pelaburan dengan mendapatkan pandangan dan bimbingan daripada Pengurus Dana yang bertauliah dan berlesen. 

Jika dalam kehidupan, kita mempunyai risiko jatuh dan bangun untuk kembali stabil mengharungi hari-hari mendatang, begitu juga dengan pelaburan kerana ia tidak boleh menjaminkan seseorang memperoleh keuntungan atau pulangan yang tinggi. Justeru itu ia bertitik tolak daripada kemahuan kita sendiri untuk meletakkan kestabilan kewangan peribadi di masa depan. 

Walaupun mungkin bukan kita yang sempat merasai kemanisan dalam pelaburan, tetapi ia berupaya menjadi aset untuk pewaris menikmati usaha kita di masa depan. Perancangan kewangan yang teratur akan membantu kita dan legasi untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik tanpa bebanan kewangan yang akan ditanggung kelak. 

Jalinan pelabur dan Pengurus Dana

Soal untung dan rugi adalah sesuatu yang subjektif, tetapi sebagai pelabur perlu juga memahami keadaan pasaran dengan situasi ekonomi global. Bukan mendabik dada apabila meraih keuntungan dan semberono menuding kesilapan. Oleh itu, hubungan rapat antara pelabur dan Pengurus Dana dipereratkan bagi mendapatkan maklumat dan mencari solusi bagi mengatasi risiko kerugian. 

Tidak semua yang indah itu manis dan yang pahit itu kelat. Jika kita faham fungsi dan risiko-risiko pelaburan, nescaya kita tidak jadikan emosi sebagai penentu sebarang keputusan, kerana setiap apa yang dilakukan dan dilaburkan, ada harga yang perlu dibayar. Jadi, pertimbangan ke atas aspek pengurusan pelaburan dana oleh seseorang Pengurus Dana yang bertauliah serta juga instrumen adalah sesuai dengan risiko yang ingin diambil akan menjadi senjata untuk memperkukuhkan keadaan kewangan anda serta pertahanan diri, agar tidak mudah melatah.

Mungkin ada yang menganggap kerugian adalah kegagalan, tidak kurang juga yang menjadikan itu sebagai kekuatan untuk bangkit daripada kelemahan. Hak masing-masing untuk menamatkan pelaburan yang dibuat, tetapi seharusnya dipertimbangkan dengan rasional sebelum membuat apa-apa keputusan bagi sesuatu pelaburan. 

Bergantung kepada ciri-ciri instrumen pelaburan yang dipilih contohnya simpanan tetap (fixed deposit) yang rendah risikonya, adalah bukan mustahil untuk memperoleh sedikit keuntungan melainkan bagi mereka memilih pelaburan yang lebih tinggi risikonya, maka haruslah juga bersedia untuk menghadapi sebarang kerugian serta mempertimbangan dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut. 

share it :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MY