Artikel

Jadikan Ramadan bulan tabungan

Ramadan bulan tabungan

Kurang dari dua minggu umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadan, bulan untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga serta memperbanyakkan amal ibadah. Malah, bulan ini juga akan menguji umat Islam berdepan dengan pelbagai godaan dan ujian, terutamanya bila hampir dengan waktu  berbuka. 

Lambakkan juadah berbuka yang dijual di segenap bazar Ramadan di seluruh negara menunjukkan betapa rakyat negara ini, daripada pelbagai lapisan masyarakat sangat sukakan kepada makanan. Tidak hairanlah mengapa Malaysia diletakkan sebagai antara negara paling obesiti di Asia Tenggara. (https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/03/11/malaysia-duduki-tangga-kedua-obesiti-di-asia-tenggara/

Bukankah Islam mengajar umatnya untuk bersederhana dan tidak membazir dalam kehidupan? Apatah lagi dalam soal makanan. Namun, ramai yang tidak mengambil peduli saranan agama yang menegah umatnya daripada melakukan pembaziran dan terlalu kekenyangan dalam soal makanan. 

Malah, Ramadan itu sendiri mendidik umatnya untuk mengawal hawa nafsu dan juga bijak berbelanja mengikut keperluan. Jadikan saranan itu sebagai kelebihan untuk kita belajar menabung untuk keperluan masa depan. Jangan terlalu ghairah mengikut kemahuan diri sehingga terlupa akan matlamat sebenar berpuasa. (https://www.hmetro.com.my/addin/2024/03/1069824/pupuk-sifat-menabung-dan-jauhi-pembaziran

Umat Islam yang berhemah dan adil terhadap diri sendiri akan memastikan setiap wang ringgit bijak dibelanjakan pada kadar yang sesuai. Sikap berhemah dan bijak menabung pasti menjadikan mereka lebih peka terhadap keperluan semasa dan pastinya sedikit sebanyak akan membantu kelestarian kewangan diri. Malah sikap ini juga mampu menjamin kehidupan yang lebih memberangsangkan pada masa hadapan. 

Cari keberkatan Ramadan 

Ramadan bukan sekadar menuntut umatnya untuk menahan diri daripada lapar, dahaga dan hawa nafsu, sebaliknya menekankan soal keperluan dan perbelanjaan. Jadikan manfaat di bulan rahmat ini untuk  menyokong jati diri kita untuk lebih menabung, supaya ianya boleh digunakan untuk keperluan Syawal kelak. 

Jika bulan-bulan lainnya kita banyak habiskan duit dengan sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang ketika bekerja, sebaliknya jadikanlah perbelanjaan bagi rutin tersebut sebagai tabung simpanan kita pada bulan Ramadan kelak. Meskipun nilainya mungkin kecil, namun manfaatnya akan lebih ketara setelah sebulan menabung di sepanjang bulan mulia ini. 

Apatah lagi jika tabungan itu dapat dijadikan modal untuk pelaburan, ia mungkin akan memberikan lebih nilai kepada keperluan masa depan. Siapa sangka dengan langkah sedemikian berupaya untuk mendidik diri kita lebih istiqomah dalam pelaburan demi keselesaan mendatang. Ibarat kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sayunya. Jika tidak dimulakan langkah, manakan dapat hasilnya. 

Kedatangan bulan Ramadan sepatutnya akan lebih bermanfaat kepada umat Islam dalam menentukan perbelanjaan harian. Asuhan ataupun intipati Ramadan sepatutnya menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk kekal istiqomah dalam sesuatu pekara termasuklah pelaburan. Akan tetapi sifat istiqomah tidak seharusnya terhad pada bulan Ramadan sahaja dan jika kelebihan Ramadan itu dijadikan panduan pada bulan-bulan lainnya, nescaya ramai yang lebih bijak dalam menguruskan kewangan diri mahupun keluarga. 

share it :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MY