Artikel

Adakah Anda Orang Kaya? 4 Perkara Ini Yang Wajib Anda Tahu

Di penghujung tahun ini, apa kata kita ambil sedikit masa untuk muhasabah diri dan merenung kembali kehidupan yang telah kita lalui.

Apa kejayaan yang telah anda capai sepanjang tahun ini? Dapat beli rumah atau kereta baharu? Dapat naik pangkat atau gaji? Perniagaan bertambah pesat?

Atau anda mendapat cahaya mata? Belajar sesuatu yang baharu? Mengembara ke destinasi idaman?

Kesemuanya itu adalah nikmat ‘kekayaan’ bagi manusia. Seorang penyair Amerika pernah berkata kekayaan adalah apabila kita mampu menjalani kehidupan sepenuhnya.

Namun entah di mana silapnya, apabila mendengar perkataan ‘kaya’, boleh dikatakan semua orang secara automatik akan mengaitkannya dengan wang ringgit atau material.

Walaupun saya sendiri mengajak anda mencipta kekayaan melalui pelaburan saham, ia bukan bermakna kita perlu mengetepikan kekayaan-kekayaan lain yang adakalanya lebih penting berbanding wang ringgit.

Malah, motivasi kita untuk mendapat kekayaan kewangan juga berpaksi kepada keinginan jiwa yang mahukan kekayaan masa dan kesihatan.

Mari kita selami jenis-jenis kekayaan yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk menentukan sama ada kita adalah orang kaya atau pun tidak.

Kekayaan Kewangan

Apa sebenarnya kekayaan kewangan? Bagi saya, bukan berapa banyak duit yang kita ada, tetapi kemampuan untuk kita enjoy apa yang kita suka pada bila-bila masa. Bermakna, kita tidak ada kebimbangan kewangan. Definisi ‘enjoy’ ini tentu sekali berbeza. Ada yang enjoy lepak kedai mamak dengan kawan, ada yang enjoy pergi melancong, ada yang enjoy beli beg tangan dan tudung baharu. Jika anda mampu melakukan apa yang anda suka tanpa perlu risau duit tak cukup, anda boleh dikatakan memiliki kekayaan kewangan. Untuk mencapai kekayaan ini, anda perlu faham asas-asasnya seperti pelaburan, perbelanjaan, bajet, dan ilmu kewangan.

Kekayaan Sosial

Kekayaan sosial yang saya maksudkan ini bukanlah status sosial kita, tetapi bagaimana kita berinteraksi dalam dunia seharian. Anda sudah memiliki kekayaan sosial jika anda mempunyai sifat-sifat yang baik, pemahaman mengenai fitrah dan psikologi manusia serta mampu membuat semua orang di sekeliling anda merasa gembira. Awas! Kekayaan sosial ini boleh terhakis jika anda terlalu obses mengejar kekayaan kewangan sehingga sanggup mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan.

Kekayaan Masa

Inilah kekayaan yang paling diidamkan ramai orang, termasuk saya sendiri. Kita mahu meluangkan masa untuk melakukan apa yang kita mahu. Tetapi, berapa ramai antara kita yang ada banyak masa terluang di zaman moden ini kerana kita terlalu sibuk mencari wang untuk meneruskan kehidupan yang serba mahal. Jadi bagaimana untuk mendapatkan kekayaan masa? Anda perlu menguasai kemahiran mencari duit selain daripada makan gaji supaya anda boleh menjana pendapatan tanpa perlu menghabiskan terlalu banyak masa di pejabat, terutama jika anda tidak gembira dengan kerja anda.

Kekayaan Fizikal

Tanpa kekayaan fizikal, semua kekayaan di atas tidak bermakna. Apa guna kekayaan wang, sosial dan masa jika kita tiada tenaga untuk menjalani kehidupan? Walaupun ramai orang tahu kesihatan adalah kekayaan yang sebenar-benarnya, tidak ramai yang menjaga jasad dan rohani mereka. Kesihatan yang baik adalah ‘pelekat’ yang akan memastikan kehidupan kita tidak terungkai di tengah jalan.

Jadi, adakah anda orang kaya? Jika anda sihat, cukup makan pakai dan berbuat baik kepada orang lain, anda adalah orang kaya. Syukurilah nikmat itu supaya anda tidak ‘jatuh miskin’!

share it :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MY