KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menongkah arus trend serantau untuk ditutup tinggi hari ini dengan indeks utamanya melantun semula daripada penurunan dua hari dagangan berturut-turut.
Ini berikutan minat risiko yang bertambah baik dalam saham wajaran tinggi terpilih.
Petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang pulih semasa sesi tengah hari meningkat 5.78 mata untuk ditutup pada paras tertinggi hariannya pada 1,608.35 selepas mencecah paras rendah 1,589.81 sebelumnya.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 676 berbanding 479, manakala 585 kaunter tidak berubah, 342 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.





