KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum meningkat minggu depan, didorong oleh sentimen positif dan penyertaan dana asing yang semakin baik, kata peniaga.
Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana, Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran diunjurkan bergerak di antara 1,510 dengan 1,520 minggu depan.
“Bursa tempatan menyaksikan pembelian semasa harga rendah yang rancak dan ini mendorong melonjakkan FBM KLCI ke paras tertinggi dalam tempoh hampir dua bulan pada minggu lalu. Saya menjangkakan pembeli asing akan terus (memasuki pasaran) dan menaikkan indeks. Sebelum ini, kita merekodkan pembelian kukuh dalam saham tenaga dan teknologi.
“Kenaikan indeks utama telah didorong terutama oleh reaksi pelabur terhadap prestasi kewangan korporat yang lebih baik berbanding dengan jangkaan, serta kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell bahawa kadar faedah (di AS) mungkin perlahan,” katanya.





