KUALA LUMPUR: Keyakinan terhadap prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan tinjauan ekonomi China yang semakin baik bakal memacu Bursa Malaysia untuk diniagakan lebih tinggi minggu depan.
Ketua Ekonomi dan Pengurus Dana Interpacific Asset Management Bhd, Datuk Nazri Khan, berkata indeks barometer berjaya kekal melepasi paras psikologi 1,450 walaupun mempamerkan pergerakan tidak menentu baru-baru ini disebabkan kebimbangan terhadap pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Inflasi utama AS meningkat pada bulan Ogos tetapi tindak balas pasaran adalah positif. Umumnya, peniaga menjangkakan Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dasar minggu depan,” katanya kepada Bernama.





